MB Kedah selamat jalani pembedahan
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selamat menjalani pembedahan kecil akibat komplikasi usus di Hospital Pulau Pinang malam semalam.
Portal Utusan Online yang memetik sumber dari pejabat menteri besar itu memberitahu, keadaan kesihatan beliau positif dan dinasihatkan doktor untuk berehat.
"Alhamdulillah beliau selamat menjalani pembedahan kecil akibat komplikasi ususnya malam tadi selepas dipindahkan ke hospital berkenaan dan kini berehat. Beliau juga menunjukkan reaksi positif," kata sumber yang dipetik portal itu.
Semalam, Ahmad Bashah yang dirawat di Kedah Medical Centre (KMC) sejak Sabtu lalu bagi komplikasi usus, dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang.
Menteri Besar itu pitam ketika menghadiri mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Hotel Grand Alora di sini kira-kira pukul 7 malam Sabtu, sebelum dikejarkan ke KMC pada 7.15 malam.
Beliau kemudiannya disahkan mengalami komplikasi usus setelah menjalani rawatan di KMC kelmarin.

