Kira-kira 20 individu berkerusi roda mengadakan protes di stesen KTM Rawang hari ini kerana mendakwa layanan buruk oleh kakitangan manakala dan tandas untuk orang kurang upaya (OKU) sentiasa berkunci.

Presiden NGO, Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC) Malaysia, Francis Siva berkata beberapa ahlinya melawat stesen berkenaan petang semalam selepas menerima aduan daripada rakan-rakan yang berkerusi roda.

Beliau mendakwa mereka mendapati tandas OKU berkunci dan tidak mendapat kerjasama daripada kakitangan stesen apabila meminta agar kunci tandas dibuka.

Setiausaha ILTC Gurdip Kaur juga memaparkan gambar kakitangan yang mempamerkan isyarat yang biadap dan menunjukkan punggungnya apabila gambar berkenaan dirakamkan.

Individu berkerusi roda yang membuat aduan berkenaan, M Murugan, mencari nafkah dengan menjual kraftangan dan alat tulis di sekitar stesen KTM Rawang sejak dua tahun lalu.

"Sejak Februari lalu, tandas untuk OKU sentiasa dikunci. Apabila saya tanya pembersih, mereka kata tiada air, tiada bekalan elektrik. [...] Mereka akan memarahi saya.

"Apabila pembersih membuka pintu tandas, saya lihat bahawa ia penuh dengan barang-barang peribadi pembersih itu. Apabila saya tanya, pembersih kata pegawai telah memberi kebenaran kepadanya untuk menyimpan barangannya," kata Murugan.

Murugan juga mendakwa dia tidak mempunyai pilihan tetapi membuang air besar dalam seluar beberapa kali kerana ketiadaan akses kepada tandas OKU.

Drama tercetus hari ini apabila kumpulan OKU yang mahu mengadakan protes dihalang oleh seorang pegawai stesen berkenaan apabila mereka mahu menggunakan platform kereta api.

Selepas pertikaman lidah yang hangat di antara kumpulan berkenaan dan kakitangan KTM, kumpulan tersebut dengan anggota media dibenarkan memasuki kawasan platform kereta api.

Mereka kemudiannya menuju ke tandas OKU dan cuba untuk membuka pintu tetapi mendapati seperti lazimnya ia berkunci.

Turut hadir adalah Ketua MIC Bahagian Selayang MB Raja, yang menggesa kementerian mengambil tindakan segera.

"Saya mahu kementerian mengambil tindakan serius kerana jika kita membiarkannya begitu sahaja, stesen lain pula akan berbuat demikian [...]

“Saya akan menulis surat kepada Kementerian Pengangkutan kerana ini tidak sepatutnya berlaku,” kata Raja.

Seorang wakil Persatuan Kebajikan dan Khairat Kematian KTM, Nor Azni Ibrahim memohon maaf berhubung kejadian itu.

Katanya, persatuan itu diamanahkan oleh pihak pengurusan KTM untuk menangani pelbagai perkara termasuk tender untuk operasi tandas di stesen Rawang dan Kuang.

"Sebagai wakil (Persatuan Kebajikan dan Khairat Kematian KTM) saya memohon maaf kerana tingkah laku kakitangan tandas itu [...]

“Saya akan pastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi," kata Azni yang juga adalah seorang pekerja KTM.

Apabila Malaysiakini menyoal sama ada mesyuarat boleh diatur dengan pihak pengurusan KTM, Azni meminta pemberita menghubunginya esok.