Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berjanji akan membuat pendedahan berterusan setiap hari bermula esok dalam usaha meyakinkan pengundi untuk meminggirkan BN pada pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Rafizi berkata pendedahan berkenaan akan menjadi peringatan kepada pengundi bahawa mereka perlu membayar lebih kerana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan oleh BN manakala pemimpinnya terus hidup dalam kemewahan.

“Mulai esok saya akan memulakan siri pendedahan yang baru.

“Saya pasti apabila rakyat mendapat tahu tentang satu lagi pembaziran melampau yang berlaku, ia akan dapat meyakinkan rakyat bahawa pilihan yang ada hanyalah menukar kerajaan persekutuan dengan mengundi calon Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Rafizi, siri pendedahan dengan butiran pertama akan dibuat di Bilik Operasi Utama AMANAN/Pakatan Harapan di Kuala Kangsar.

“Pendedahan ini akan berterusan setiap hari sehinggalah hari-hari terakhir kempen,” katanya.

Rafizi berkata pilihan raya kecil akan menjadi pemilihan antara untuk mengekalkan sistem ekonomi yang pro-orang kaya dan menekan rakyat terbanyak atau sistem ekonomi baru yang pro-rakyat.

Menurutnya, Pakatan Harapan antara lain, akan menghapuskan GST, memberi subsidi kepada yang memerlukan dan mendemokrasikan pendidikan dengan menawarkan pendidikan bermutu pada kos yang minimum.

Rafizi juga mengkritik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Wahid Omar yang mempertahankan GST dan menyokong pemansuhan subsidi.

“Tanggungjawab sebuah kerajaan ialah membela golongan paling daif dengan memastikan ekonomi berkembang secara adil; bukannya memotong peruntukan orang miskin untuk membayar hutang yang gagal dibayar orang kaya.

“Atas dasar ini juga saya lantang menentang GST. Cukai ini menjadi satu perkara yang zalim kerana fakir miskin dipaksa membayar cukai yang sama dengan orang kaya untuk menutup lubang hutang kerajaan dek kerakusan orang-orang kaya elit membolot kekayaan negara,” katanya.

Katanya, tindakan Wahid mempertahankan dasar-dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu adalah bukti bahawa selagi BN berkuasa, golongan miskin akan terus ditindas.