Perkembangan dalam beberapa minggu ini membawa kepada spekulasi keretakan dalam PKR meskipun ia enggan diakui atau disahkan oleh pemimpinnya.

Bagaimanapun, portal pro-Umno membangkitkan spekulasi mengenai perbalahan dalaman yang mungkin akan melimpah dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Menurut MyKMU.net, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dikhabarkan gembira sekiranya Parti Amanah Negara (AMANAH) kalah dalam PRK berkenaan 18 Jun ini.

Kecewa kerana cadangan beliau meletakkan calon PKR bagi pertandingan satu lawan satu dengan BN tidak dilayan, portal itu mendakwa Azmin menarik keluar semua jentera pilihan raya di bawah kawalannya.

"Walau pelbagai alasan yang diberikan oleh Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai “kehilangan” jentera PKR Selangor di bawah Azmin, yang nyata Azmin sudah bersedia mengorbankan kerusi ini untuk Pilihan Raya Umum," lapornya.

Portal itu juga mendakwa sumber dari kem timbalan presiden PKR itu mendedahkan jika calon AMANAH Azhar Abdul Shukor memenangi pilihan raya kecil itu, ia akan memberi ransangan untuk melawan Azmin dari dalam PKR. 

Menamakan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, sumber itu berkata golongan ini akan menjadi "besar kepala" dan mungkin berusaha untuk menghapuskan Azmin pada masa hadapan.

“Kekalahan PAN (AMANAH) di PRK Sungai Besar akan memberi isyarat jelas kepada Presiden Parti (PKR) bahawa Azmin mempunyai strategi politik yang lebih baik berbanding Rafizi.”

"Sekiranya PAN masih menang tanpa bantuan jentera Azmin, menteri besar Selangor tersebut bakal berhadapan dengan “pemberontakan” dalaman dari PKR dan DAP.

“Justeru mahu tidak mahu Azmin perlu memastikan calon PAN tidak mendapat undi yang mencukupi dari kaum Melayu untuk menang PRK kali ini," sumber itu dipetik sebagai berkata.

Kerusi Parlimen Sungai Besar akan menyaksikan Azhar melawan calon BN Budiman Mohd Zodhi dan calon PAS 'Dr Abdul Rani Osman.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dari BN dalam nahas helikopter baru-baru ini. Pada pilihan raya umum lepas, Noriah memenangi kerusi itu dengan hanya majoriti 399 undi.