Empat pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), boleh memohon melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat mendapat kebenaran khas daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Sumber Kementerian Pengajian Tinggi yang dihubungi Bernama berkata jika mereka mendapat kebenaran khas itu, permohonan mereka akan diproses sama seperti permohonan calon-calon lain, sama ada melalui borang atau melalui talian.

Pelajar terbabit ialah Mohd Ikhwan Abdullah dan Edday Erman Shahime yang masing-masing mendapat 8A manakala Abi Dzar Jaafar mendapat 7A dan Mohd Radhi Abdul Razak 6A.

Pengarah Matrikulasi Kementerian Pelajaran, Profesor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, dilaporkan oleh Utusan Malaysia hari ini sebagai berkata permohonan tahanan itu ditolak kerana telah melanggar syarat dan Akta Matrikulasi.

Sumber itu berkata, ibu bapa mereka juga boleh menulis surat kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk merayu atau mendapat kebenaran untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran di IPTA.

Lanjut ke peringkat diploma

Katanya, antara lain pelajar-pelajar ini boleh belajar secara pendidikan jarak jauh yang biasanya hanya memerlukan mereka menghadiri kelas sekali atau dua setiap bulan.

Menurutnya lagi, hanya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mempunyai kuasa menentukan sama mereka boleh menyambung pelajaran memandangkan perkara itu turut membabitkan isu keselamatan.

Katanya kebenaran khas itu tentu menyatakan terma-terma yang mesti dipatuhi para pelajar tersebut bagi melanjutkan pelajaran mereka.

Sumber itu berkata, ini kali pertama kementerian berhadapan dengan kes seumpama itu.

Beliau berkata keempat-empat pelajar itu boleh memohon untuk melanjutkan pelajaran di IPTA untuk pengajian peringkat diploma selama tiga tahun atau matrikulasi.