'Saya dan keluarga terguris tapi kami maafkan bekas MB'
"Sebagai seorang manusia biasa yang sama seperti anda semestinya perkataan itu mengguris saya dan keluarga tapi saya maafkan mereka (Datuk Seri Nizar Jamaluddin).”
Itu luahan hati calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid pada sidang media keduanya ketika diminta mengulas kenyataan bekas menteri besar Perak itu yang mengaitkan kematian suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terbunuh dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lalu dengan ‘ketentuan Ilahi’.
Bahkan Mastura yang akan mempertahankan kerusi suaminya pada 18 Jun ini berkata beliau percaya Allah akan tunjukkan kebenarannya.
Nizar pada ceramahnya malam Isnin lalu berkata, Allah memilih supaya pilihan raya kecil diadakan di parlimen Kuala Kangsar kerana kebiadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merampas kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat pada tahun 2009.
Kenyataan pemimpin AMANAH Perak itu menerima bidasan pelbagai pihak termasuk juga daripada sekutunya dalam Pakatan Harapan.
Ahmad Zahid berkata beliau tidak terkejut dan akan mendoakan agar Allah swt menerima taubat Nizar.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pula tidak bersetuju dengan kenyataan itu tetapi enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada ia tidak sensitif dan bekas menteri besar itu perlu menarik balik kenyataannya.
Pada pilihanraya Kuala Kangsar ini, Mastura akan berdepan dengan calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Pilihan raya kecil juga akan diadakan serentak pada 18 Jun ini di Sungai Besar kerana nahas yang sama meragut nyawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon yang adalah ahli parlimen kerusi tersebut.

