Pembangkang perlu menghormati kesederhanaan dan keharmonian penduduk Kuala Kangsar khususnya ketika kempen pilihan raya kecil di kawasan itu, kata calon BN Mastura Mohd Yazid.

Mastura berkata demikian ketika ditanya mengenai kekecohan yang berlaku pada satu ceramah pembangkang yang didakwa dianjurkan ketika umat Islam sedang berbuka puasa dan menjalani solat sunat Terawih.

“Itu jadual yang sudah ditetapkan mereka, dan saya tak mahu komen mengenainya.

“Tetapi kita di Kuala Kangsar ini sangat harmoni dan bersederhana jadi kalau siapa yang datang ke sini saya anjurkan supaya menghormati kesederhaan dan keharmonian kami,” kata Mastura dalam sidang media di kediaman beliau di Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini.

Hari ini adalah sidang media kedua Mastura sejak beliau dinamakan sebagai calon BN pada PRK Kuala Kangsar.

Dalam program AMANAH di Taman Sri Emas semalam dilaporkan berlaku kekecohan hingga ucapan Ahli Parlimen DAP Anthony Loke tergendala seketika apabila seorang pemuda memarahi penganjur kerana mengadakan ceramah ketika umat Islam sedang menunaikan solat Terawih.

Pemuda itu mendakwa ini kerana tindakan mereka itu tidak menghormati agama Islam.

Bagaimanapun Mastura enggan mengulas dakwaan pemimpin DAP bahawa kekecohan semalam itu didalangi penyokong Umno.

“Saya tak dapat nak komen akan perkara (kekecohan) itu, saya minta maaf saya tak boleh komen perkara yang saya tidak tahu dan buat masa sekarang ini banyak perkara lain yang perlu saya fikirkan.

"Mengenai apa yang berlaku mungkin boleh tanya Bilik Gerakan BN,” tegas Mastura.

Enggan ulas isu jet Rosmah

Sementara itu, Mastura turut enggan menjawab pertanyaan mengenai dakwaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berhubung penggunaan jet peribadi oleh isteri perdana menteri, Rosmah Masor.

Tegas Mastura beliau tidak akan komen perkara di luar pengetahuan beliau.

“Saya sebenarnya tak tahu mengenai perkara itu (Rosmah guna jet peribadi ke Istanbul) dan tak ambil maklum akan perkara itu, saya baru tahu dari saudari (wartawan)," katanya.

Mastura dicalonkan BN di kerusi Kuala Kangsar bagi menggantikan tempat Allahyarham Suaminya, Datuk wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak bulan lalu.

Dalam PRK itu Mastura akan berdepan Calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun.