Rosmah minta polis, ATM jalan tugas dengan baik di hari raya
Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), Datin Seri Rosmah Mansor berharap agar pasukan keselamatan dapat menjaga keselamatan negara daripada sebarang kekacauan pada hari raya nanti.
Isteri perdana menteri itu juga meminta supaya pasukan keselamatan dapat melaksanakan tugasan dengan baik bagi memastikan negara bebas dari segala ancaman.
"Jalankan tugas dengan baik dan pastikan negara selamat dari sebarang bencana atau sebarang kacau daripada orang luar mahupun orang dalam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembungkusan sumbangan hari raya kepada pasukan keselamatan Malaysia di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, Petaling Jaya.
Turut hadir pada majlis pembungkusan hari ini ialah seramai 160 sukarelawan daripada pelajar Universiti Malaya, pihak Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Rosmah pada tahun ini terdapat peningkatan jumlah bungkusan memandangkan pihak PDRM memohon supaya ia ditambah sebanyak 5,000 kotak.
"PDRM minta lebih sebab polis ramai yang akan bertugas. Tak apa, asalkan kita selamat.
"Apa yang mustahak ahli BAKTI dapat sumbangkan sikit pada pegawai keselamatan yang akan bertugas pada hari raya kelak," katanya lagi.
Pada tahun ini, sebanyak 55,000 buah kotak bungkusan hari raya akan diagihkan kepada ATM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Antara kandungan yang dibekalkan pada anggota keselamatan ialah rendang daging, sambal ikan bilis, kuah kacang dan nasi impit.

