Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Umno sekolahkan Rafizi dalam isu 'jet' Rosmah
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 3:00 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Seorang pemimpin veteran Umno hari ini menempelak tindakan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang dikatakan kerap kali membuang masa dengan cubaan untuk menggambarkan salah laku perdana menteri dan isterinya.

Walhal, kawasan Parlimen yang diwakili oleh Rafizi iaitu Pandan pula tidak dijaga dengan baik.

Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, Rafizi seperti mahu menunjukkan kebodohannya apabila tidak dapat membezakan keperluan pemimpin atas urusan rasmi membabitkan kepentingan negara.

"Ini bermakna wakil rakyat itu kurang cerdik," kata Syed Ali dalam laman blog beliau.

Syed Ali berkata, wakil rakyat yang berhemah akan bekerja 100 peratus untuk kepentingan rakyat di kawasan yang diwakili mereka dan bukannya sibuk menabur fitnah dan adu-domba.

Justeru, beliau menasihatkan Rafizi supaya 'kembali' ke kawasan (Pandan) untuk membantu rakyat daripada bersusah payah menabur fitnah untuk memburukkan pemimpin UMNO.

"Tetapi malangnya, wakil Rakyat Pandan itu dilihat begitu lembab memberikan khidmat kepada pengundi di kawasan tersebut, sebaliknya hanya ghairah untuk mencari salah pemimpin UMNO terutama Najib dan isteri," tambahnya.

Pada masa yang sama, Syed Ali turut melahirkan rasa kesal dengan perbuatan Rafizi yang dengan sengaja membuka aib orang lain dengan niat jahat.

"Rafizi selongkar fitnah Najib dan isteri, kemudian sebar menerusi media sosial, perbuatan itu amat terkutuk kerana sengaja membuka aib orang lain dengan niat jahat," tegasnya.

"Inilah tabiat buruk Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR yang tidak habis-habis melemparkan fitnah terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dengan pelbagai tuduhan karut dan tidak berasas," ujarnya.

Beliau turut berhujah bahawa penggunaan jet kerajaan oleh Rosmah adalah bersesuaian dengan kedudukan sebagai isteri perdana menteri.

"Rosmah adalah isteri Perdana Menteri Malaysia dan kedudukan beliau dari segi protokol adalah layak," ujar beliau lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS