Syarikat kecantikan diarah bayar gantirugi RM103,466 kepada wanita Australia
Mahkamah Sesyen di George Town hari ini memerintahkan sebuah syarikat kecantikan Europe Cosmeceutical Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM103,466.30 kepada seorang wanita Australia kerana cuai hingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan
Hakim Irwan Suaibon dalam keputusannya berkata berdasarkan imbangan kebarangkalian terdapat unsur-unsur kecuaian dalam proses rawatan yang dijalankan oleh syarikat tersebut selaku defendan dalam kes itu.
Semasa membenarkan saman yang dikemukakan Carol Frances Ward, 57, hakim itu berkata akibat daripada kecuaian defendan, wanita itu mengalami kecederaan dan jangkitan pada dahi hingga menyebabkan dahinya bengkak dan bernanah.
Mahkamah memerintahkan syarikat itu membayar ganti rugi teladan sebanyak RM80,000, ganti rugi am RM10,000 bagi kesakitan dan penderitaan, kos rawatanRM6,500 yang dibayar plaintif kepada defendan serta beberapa kos lain termasuk
kos penginapan, serta kos mendapatkan rawatan di klinik swasta.
Pada September 2014, Carol selaku plaintif menfailkan saman itu dengan menamakan syarikat Europe Cosmeceutical Industries Sdn Bhd, yang mengendalikan pusat kecantikan yang dikenali sebagai 'Cellnex Lady dan Perfect Lady' di Jalan
Kelawai di sini sebagai defendan.
Menerusi pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada 19 Januari 2013, beliau mendapatkan rawatan di Cellnex bagi membuang satu kedutan yang dalam di dahinya dan berdasarkan nasihat pekerja di pusat kecantikan itu satu prosedur melibatkansuntikan dan/atau pemasukan secara intravena bahan yang tidak diketahui telah dimasukkan ke bahagian kedutan di dahinya.
Bagaimanapun selepas rawatan itu, Carol berkata beliau mengalami bengkak besar atas bahagian dahinya dan bengkak itu tidak hilang sebaliknya menjadi semakin teruk dan bernanah.
Plaintif mendakwa beliau mengalami kesakitan yang berterusan dan cecair serta nanah bertakung keluar dan menitis dari bahagian yang dijangkit ke sebelah mata kanannya dan bengkak bernanah itu telah menyebabkan wajahnya menjadi semakin menakutkan.
Seterusnya plaintif mendakwa pada 20 Mac 2013 beliau kembali ke Pulau Pinang dari Australia bagi meminta penjelasan dari pusat kecantikan itu berhubung keadaannya namun tidak dipedulikan oleh pekerja terbabit.
Dalam pernyataan tuntutannya lagi, Carol berkata beliau kemudiannya mendapatkan rawatan di klinik swasta lain bagi memulihkan wajahnya dan biarpun rawatan itu berjaya disempurnakan namun ia telah meninggalkan parut di dahi plaintif.
Justeru plaintif mendakwa defendan gagal memaklumkan kepadanya butir-butir bahan yang disuntik atau dimasukkan secara intravena ke bahagian dahi plaintif dan gagal memaklumkan plaintif risiko-risiko bagi prosedur tesebut.
Oleh itu plaintif menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah dan kos yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Carol diwakili peguam Simon Murali manakala Europe Cosmeceutical Industries Sdn Bhd diwakili peguam Md Yusof Md Idris.
Md Yusof ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu pihaknya kemungkinan akan menfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.
- Bernama

