Umno hari ini memberi amaran kepada parti-parti pembangkang agar tidak bermain api dengan menjadikan isu perkauman sebagai modal politik kempen mereka pada pilihanraya kecil parlimen Sungai Besar mahupun di Kuala Kangsar.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menggesa semua parti yang terlibat mematuhi etika berkempen dan undang-undang yang telah digariskan sewaktu pilihanraya.

Beliau dipetik oleh Umno Online sebagai berkata parti-parti politik harus mempunyai kekuatan moral dan rasa tanggungjawab untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemar keharmonian negara semata-mata demi meraih undi.

“Kalau kita berkempen semata-mata untuk mendapatkan undi tetapi akhirnya negara rosak, saya rasa tidak ada maknanya. Ini bukan soal kuasa kerana kuasa itu akhirnya harus kembali rakyat. Apa yang kita mahu ialah kestabilan dan keamanan.

“Tetapi kalau kita mula memainkan sentimen perkauman, itu bak pepatah Melayu seolah-olah bermain dengan api. Waktu api masih kecil mungkin kita rasa seronok, tetapi sekiranya api itu merebak menjadi besar nanti tak terpadam.

“Sebab itu dalam negara kita, perkara-perkara yang harus dielakkan oleh parti politik ialah membakar sentimen perkauman. Perkara seperti itu tidak harus ada sama sekali,” katanya.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai papan iklan kontroversi yang muncul di Sekinchan yang kemudiannya diturunkan.

Pemimpin Umno itu berkata kewujudan BN adalah untuk memadamkan sentimen perkauman dengan membawa corak dan pendekatan politik kesederhanaan, muafakat dan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun kita tahu setiap kelompok kaum itu ada keinginan-keinginan mereka tersendiri, tetapi masing-masing mempunya tolenrasi dan bersederhana. Sebab itu BN masih boleh bertahan sehingga ke hari ini berbanding gabungan parti-parti pembangkang.

“Kalau macam PAS dan DAP, mereka sering mengambil pendekatan yang kadang kalanya ekstrim, dan sikap seperti itulah yang memakan diri mereka sendiri. Akhirnya kerana bersikap ekstrim itu menyebabkan mereka tidak boleh duduk semeja terlalu lama,” katanya.

Bagi BN, kata Annuar, walaupun terdapat perbezaan pendapat dan sebagainya yang melibatkan kepentingan kaum, tetapi formula muafakat BN itu sendiri menjadi penawar dan mensederhanakan segala-galanya.

Sambil menegaskan bahawa BN tidak membenarkan cara kempen yang melampau, beliau mendedahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri menasihatinya untuk berkempen dengan cara sederhana, terutama kerana ini adalah bulan Ramadan.

“Apa yang penting ialah kita mahukan satu pilihanraya yang aman tanpa menjejaskan keharmonian dan keamanan negara,” katanya.

Kempen sedang dirancak dijalankan menjelang dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, yang akan diadakan serentak pada 18 Jun ini.