Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SYABAS: Kios air suling perlu ada akaun dan meter individu
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 5:51 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mahu semua operator kios air agar memohon akaun bekalan air dan memasang meter air individu berasingan untuk setiap kios air suling.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor Amin Lin Abdullah berkata permohonan akaun bekalan air boleh dilakukan menerusi Portal Talian Terus Khidmat Pelanggan (www.syabas.com.my).

"Pemohon perlu melengkapkan borang dan menghantar secara atas talian dan disusuli dengan penghantaran melalui pos iaitu dua salinan Surat Perjanjian Bekalan Air asal dan Surat Kebenaran dan Aku Janji, jika perlu kepada Jabatan Perkhidmatan Perhubungan Pelanggan SYABAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kegagalan pihak operator kios memohon akaun dan memasang meter air individu itu, akan dikenakan tindakan selain pemotongan bekalan air.

"Tindakan juga boleh dikenakan ke atas penghuni premis bagi kesalahan di bawah Seksyen 89 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006," katanya lagi.

Beliau berkata saranan itu seiring dengan peraturan 98 yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Perkhdimatan Air Negara (SPAN) di bawah Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi dan Pemasangan Paip) 2014 iaitu iaitu mewajibkan operator kios air membuka akaun bekalan air dan memasang meter air individu berasingan untuk setiap kios air suling.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS