Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KUISAS dinaik taraf sebagai Universiti Sultan Azlan Shah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar kini dinaik taraf sebagai Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia.

Najib membuat pengumuman itu dalam lawatan rasmi beliau ke KUISAS sebelum menunaikan solat Jumaat.

"Bagi kesinambungan sejarah Kuala Kangsar iaitu antara bandar pendidikan tertua di Malaysia yang menempatkan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Kangsar dan Madrasah Idrisiah, kerajaan pusat bersetuju untuk menempatkan KUISAS sebagai universiti penuh di Kuala Kangsar," katanya di Masjid KUISAS.

Berikutan itu, Najib berkata, sebagai permulaan universiti berkenaan akan menerima geran tahunan daripada kerajaan pusat.

Perdana Menteri berada di Kuala Kangsar susulan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan tersebut.

Sebelum ini, calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid telah mengemukakan lima agendanya dan antaranya mahu menjadikan KUISAS sebagai sebuah universiti.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun ini diadakan berikutan nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu yang mengorbankan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon serta lima yang lain terbunuh.

SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi PRK berkenaan.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, AMANAH dan Bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS