Jabatan Mufti Perlis wujud studio rakaman sebar siaran dakwah
Jabatan Mufti Perlis mewujudkan studio rakaman khusus, sebagai siaran dakwah dan menjelaskan isu-isu yang menyentuh umat Islam yang disebarkan melalui laman sosial.
Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata penubuhan studio tersebut juga bertujuan mengekang penyebaran maklumat dari sumber tidak jelas termasuk hadis-hadis palsu dan maslahah umat Islam melalui pelbagai platform.
Katanya studio tersebut, mungkin yang pertama dimiliki Jabatan Mufti di negara ini beroperasi Mei lepas dan dikenali sebagai Studio Institut Sunnah dan Irsyad Negeri Perlis (Isnad).
Katanya rakaman termasuk soal jawab yang dibuat akan disiarkan secara dalam talian melalui sesawang https://m.facebook.com/muftiperlis/.
"Rakaman yang bakal disiarkan turut menyentuh aspek ilmiah dan soal jawab kemusykilan tentang agama melalui Slot Tanya Mufti," kata Mohd Asri kepada Bernama hari ini.
"Saya berharap rakyat Perlis khususnya dan Malaysia amnya memanfaatkan Isnad," kata Mohd Asri sambil melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana memakbulkan hasrat dan doa, untuk mewujudkan studio itu yang dibina membabitkan
peruntukan RM15,000.
Mohd Asri berkata masyarakat perlu membuka minda dan berfikir secara rasional dalam menerima sebarang maklumat serta bijak memilih sumber dalam era serba canggih yang mana maklumat tersebar dengan pantas.
Rakyat yang terkeliru akan mudah terpengaruh sehingga sanggup berbalah sesama sendiri untuk menegakkan fahaman masing-masing terutama apabila agama dicampur dengan kepentingan politik, katanya.
Beliau memberi contoh usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini bagi memperkasa undang-undang sedia ada tetapi disalah tafsir oleh pihak tertentu.
Mohd Asri yang boleh dihubungi melalui laman Facebook rasminya DrMAZA.com, berharap masyarakat akan memberi maklum balas pelbagai rancangan yang bakal dipaparkan oleh studio Isnad.
- Bernama

