Pendedahan Rafizi Ramli mengenai perjalanan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor disifatkan hanya akan menjadikan setiausaha agung PKR itu bahan ketawa sahaja.

Bahkan, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan Rafizi itu seolah-olah memperlihatkan beliau seperti menjadi satu ketagihan kepadanya untuk melemparkan pelbagai tuduhan sesama mereka.

“Rafizi sekarang ini sudah mula jadi bahan ketawa dari sesetengah orang kerana sikap dan pendirian dia sendiri. Melemparkan pelbagai tuduhan sesama sendiri (seolah-olah) sudah menjadi satu ketagihan (kepada Rafizi), seronok nak mengeluarkan cerita,” tegas Annuar ketika ditemui Malaysiakini selepas majlis berbuka puasa di Manong, Kuala Kangsar.

Annuar berkata demikian mengulas pendedahan anggota Parlimen Pandan itu berhubung perjalanan Rosmah ke Istanbul, Turki dengan menggunakan jet peribadi.

Untuk hari ketiga berturut-turut, Rafizi mendedahkan mengenai perjalanan Rosmah ke Istanbul, Turki.

Yang terbaru, Rafizi berkongsi video dua minit yang kononnya menunjukkan Rosmah menaiki pesawat milik Emirates Airline dengan pegawainya membawa beg ke dalam pesawat.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Kangsar, Rafizi mempersoalkan jumlah pegawai yang mengiringi isteri Perdana Menteri dalam lawatan itu serta kandungan beg berkenaan.

Bagaimana pun, menurut Rafizi beliau tidak pasti bilangan beg yang dibawa itu dan menyoal mengapa ia idak diletakkan di kawasan bagasi yang ditetapkan tetapi terpaksa diangkut sendiri ke dalam pesawat berkenaan.

Namun, pendedahan itu ditempelak pegawai khas Rosmah.

Mengulas lanjut, perkata tersebut Annuar yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata sebagai seorang muslim yang baik Rafizi tahu batas-batas berpolitik khususnya dalam bulan Ramadan.

Annuar berkata ini kerana apa yang didedahkan itu jelas tidak betul dan tindakan Rafizi berbuat demikian menunjukkan sikap beliau yang begitu nakal.

“Saya fikir bagi seseorang muslim yang baik terutama sekali dalam bulan Ramadan walaupun kita berpolitik kita mesti ada batas-batas, setidak-tidaknya menampakkan kita pemimpin yang menghormati Ramadan.

“Apa yang dibangkitkan itu tidak benar dan sebagai seorang yang berpengalaman bekerja dalam bidang tertentu dan  latar belakang kelayakan akademik, tidak sepatutnya beliau menunjukkan sikap yang begitu nakal dalam membuat perhitungan berapakah kos,” kata Annuar.

Tegas Annuar, sebagai anggota parlimen Rafizi sepatutnya mengekalkan martabat yang tinggi dalam berhujah dan barulah dihormati.

“Sepatutnya sebagai seorang anggota parlimen, terutamanya kita mesti mengekalkan satu tahap martabat yang tinggi apabila kita mengemukakan satu-satu hujah dan mesti bersandarkan fakta dan bukti, barulah kita akan dihormati.

“Dia bertanyakan kadar harga yang betul kali dengan 24 jam, darab dengan berapa hari maka dianggarkan itulah jumlah yang dibelanjakan. Sedangkan beliau tidak mempunyai bukti dan keadaan sebenar pun kita tahu tidaklah begitu,” jelas Annuar.

Justeru, annuar berkata jika kita mahu dihormati maka setiap pemimpin perlu menjaga pendekatan mereka.

“Kalau kita tembak sepuluh biji peluru bukan jumlah sepuluh itu yang orang pandang tetapi jumlah sasaran yang mengena.

“Jadi, apa-apa saja isu yang separuh masak dan kita spin maka kita tidak lebih daripada seorang politik jalanan. Saya tidak fikir beliau mahu meletakkan kedudukan diri beliau sebagai seorang politik jalanan yang semata-mata pandai membawa isu tetapi tidak mempunyai asas yang kukuh,” kata Annuar.

Malah, Annuar juga turut menegaskan bahawa anggaran sekitar RM86.4 juta dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyewa pesawat Airbus ACJ319 bagi perjalan Rosmah ke Istanbul, turki adalah jelas tidak betul.

“Kos itu memang jelas tidak betul, dia hitung berdasarkan kadar sewaan yang diandaikan maka jika disewakan dua bulan itulah kadarnya.

“Dalam kaedah penyewaan jet itu ada banyak yang mana ada disewa sekali dengan crew dan perkhidmatan pada harga tertentu, ada juga disewakan tapi dikendalikan oleh pegawai kerajaan,” jelas Annuar.