Tuduhan ‘Cina Babi’: Bukti, viralkan kalau ada - Jamal
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mencabar pihak yang mendakwanya menyebut perkataan ‘Cina Babi’ supaya tampil membuktikan tuduhan itu.
Menurut beliau, bukti yang jelas perlu ditunjukkan ekoran isu tersebut telah digunakan di papan iklan dengan tujuan untuk mempengaruhi undi Cina khususnya.
"Buktikan tuduhan saya sebut ‘Cina Babi’, jika ada video mengenainya, viralkan,” kata beliau, memetik laporan oleh laman web Kelab Penyokong BN (BNBBC).
Pada masa yang sama, Jamal turut menggesa mereka yang menyebarkan fitnah terhadap beliau agar memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang.
Kata beliau, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut dan akan memulakan tindakan undang-undang sekiranya pihak yang terlibat enggan memohon maaf.
"Saya sudah menafikan yang saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan digembar-gemburkan dan saya sudah membuat laporan polis mengenainya.
“Bagi saya ini adalah provokasi melampau, saya minta pihak yang membuat fitnah memohon maaf sebelum tindakan undang-undang diambil," menurutnya.
Kata Jamal, pembangkang begitu terdesak sehingga mereka terpaksa menggunakan taktik seumpama itu untuk memenangi hati pengundi Cina.

