Menteri luar ASEAN tonjol pentingnya Laut China Selatan berkecuali
Menteri-menteri luar ASEAN menegaskan perlunya dasar perkecualian tentera dan pengekangan diri dalam mengelola segala aktiviti, termasuk penambakan laut, yang boleh mencetus ketegangan di Laut China Selatan.
Mereka juga menegaskan perlunya diperhebat usaha bagi mencapai kemajuan seterusnya dalam pelaksanaan Deklarasi mengenai Tata Cara Pihak-pihak di Laut China Selatan dan penerimaan awal Kod Tata Cara.
Perkara ini terkandung dalam kenyataan dikeluarkan oleh menteri-menteri berkenaan berikutan Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar ASEAN-China di Kunming, China, pada hari Selasa.
"Kami menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan,keselamatan dan kebebasan pelayaran di dan lintas udara Laut China Selatan," kata menteri-menteri berkenaan.
Usaha ini, menurut mereka adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa sejagat yang diiktiraf termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).
"Kami menekankan keperluan untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, mengamalkan pengekangan diri dalam menjalankan aktiviti selanjutnya yang akan menyukarkan keadaan atau menyebabkan ketegangan dan mencapai resolusi pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa," kata Menteri Luar ASEAN.
Mereka juga menyuarakan komitmen ASEAN untuk mengekal dan menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan untuk mencapai resolusi aman dalam pertikaian, termasuk mematuhi sepenuhnya proses undang-undang dan diplomatik, tanpa menggunakan ancaman atau kekerasan sebagai jalan penyelesaian.
Menteri-Menteri Luar turut menegaskan kepentingan mewujudkan MFA (Kementerian Luar Negeri) dan talian hotline untuk menguruskan kecemasan maritim di Laut China Selatan.
Mereka juga mempertimbangakan cadangan bagi Kod Pertembungan Tidak Terancang di Laut (CUES) bagi kapal-kapal tentera laut di Laut China Selatan.
"Sejajar dengan pelaksanaan penuh dan efektif Deklarasi Tata Cara Pihak-pihak di Laut China Selatan sepenuhnya, dan bergantung pada penerimaan-pakai Kod Tata Cara, kami menegaskan pentingnya melaksanakan usaha membina keyakinan dan langkah-langkah pencegahan yang akan menggalakkan, antara lain, keyakinan dan kepercayaan di kalangan pihak-pihak terlibat," kata mereka.
"Mengenai Laut China Selatan, kami berbincang secara terbuka dengan Menteri Luar China Wang Yi memandangkan perkembangan baru-baru ini di lapangan," kata menteri ASEAN.
Mereka mengambil peluang menyatakan pandangan serius mereka tentangpergolakan baru-baru ini dan yang masih berlaku yang telah menghakis keyakinan dan kepercayaan, meningkatkan ketegangan dan mungkin berpotensi menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan.
- Bernama

