Mereka mungkin pengemis yang kelihatan daif dan hanya menagih simpati orang ramai, tetapi ada dalam kalangan mereka yang memperoleh pendapatan jauh lebih banyak daripada orang yang menghulurkan bantuan.

Jika dari luaran pengemis dilihat sebagai golongan yang daif, namun tidak ramai yang tahu hasil mengemis boleh mencecah sehingga RM1,000 sehari, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang Said Sidup.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh pihaknya hasil siasatan terhadap pengemis yang diselamatkan dalam operasi yang dijalankan jabatan berkenaan di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar bijak dan berhati-hati sebelum menghulurkan derma untuk mengelak daripada tertipu oleh pengemis sama ada yang mengemis secara individu atau didalangi sindiket.

"Sikap pemurah rakyat Malaysia antara punca utama masalah pengemis berlarutan sehingga kini," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Pendidikan Kesedaran Pencegahan Pengemisan di George Town semalam.

Program yang bertemakan 'Bijak Membantu Elak Tertipu' peringkat negeri itu dirasmikan exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh.

Said berkata orang ramai yang ingin menderma dinasihat menghulurkannya kepada badan-badan yang sesuai seperti masjid atau pertubuhan kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, pihaknyamenyelamatkan 201 pengemis menerusi 150 operasi yang dijalankan di seluruh negeri.

"Seramai 142 orang adalah pengemis tempatan manakala selebihnya rakyat asing," katanya.

- Bernama