Harga baru minyak boleh mansuhkan GST
ULASAN Laporan ekonomi oleh MIDF, sebuah institusi bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyasarkan harga minyak stabil dengan purata AS$55 setong hingga akhir tahun hadapan.
Ini jauh mengatasi nilai sandaran yang digunakan untuk pengubahsuaian bajet 2016 iaitu sebanyak AS$30 hingga AS$35 setong.
Ini bermakna kerajaan BN akan mendapat hasil cukai minyak yang jauh melebihi daripada apa yang mereka jangkakan.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH menggesa supaya kerajaan BN memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk mengurangkan beban rakyat yang semakin tertekan dengan pelbagai kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup dan penguncupan nilai ringgit.
Jika MIDF sendiri menyatakan kadar GST berkemungkinan boleh diturunkan sehingga 4 peratus, ditambah dengan disiplin urus tadbir terbaik, Pemuda AMANAH merasakan tidak mustahil untuk ia dimansuhkan.
Pemansuhan GST bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah dapat menjadi pemangkin stimulus fiscal dengan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik di kala kadar aktiviti ekonomi dunia yang semakin perlahan.
Kisah UK, Ireland
Memansuhkan GST ini bukanlah sesuatu yang mustahil.
Setidak-tidaknya kita boleh bermula seperti United Kingdom (UK) yang pernah mengurangkan kadar VAT/GST sebanyak 2.5 peratus pada 2008.
Ireland pula pernah mengurangkannya pada tahun 1985, 1991, dan 2001.
Kerajaan pimpinan Najib Razak harus menginsafi bahawa rakyat kini semakin susah.
Kejutan pendedahan penggunaan jet peribadi oleh Rosmah Mansor untuk ke Istanbul baru-baru ini jelas menghiris nurani rakyat.
Kos sewaan jet peribadi ini dianggarkan mencecah RM86.4 juta! Ini tidak termasuk pelbagai lagi kes-kes keborosan lain.
Siapa yang menanggungnya?
Tekan BN dalam p'raya
Lebih menyedihkan apabila majoriti pimpinan BN dengan penuh angkuh mempertahankan perbelanjaan boros ini.
Ada yang mengatakan bahawa sebagai isteri perdana menteri, Rosmah berhak menggunakannya.
Ada pula yang mengatakan bahawa bukan wang rakyat yang digunakan untuk menanggung perbelanjaan ini, tetapi wang kerajaan.
Tidakkah mereka sedar bahawa wang kerajaan ini diambil daripada kutipan cukai yang datang daripada kerahan titik peluh rakyat?
Adakah patut rakyat berdiam diri dan hanya berpeluk tubuh mengiyakan tindakan boros kerajaan BN?
Pemuda AMANAH menggesa rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan bantahan dan memberikan tekanan kepada kerajaan BN untuk memansuhkan GST.
Ini hanya boleh dilakukan dengan mengundi parti yang bersungguh-sungguh menentang korupsi dan keboroson BN, bukannya 'parti penasihat' yang terus bertoleransi dengan kebejatan urus tadbir kerajaan pimpinan Najib.
Undilah AMANAH / Pakatan Harapan untuk harapan baru rakyat Malaysia.
SANY HAMZAN ketua Pemuda AMANAH.

