SPRM tahan bekas ahli parlimen PKR
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas ahli parlimen PKR kerana didakwa menerima RM30,000 rasuah daripada seorang kontraktor.
Sumber mendedahkan bekas ahli parlimen yang juga adalah ketua cabang PKR di Selangor turut disiasat kerana didakwa menipu simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beberapa orang kurang upaya.
Ketika dihubungi kemudian, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mendedahkan butiran kes.
Penahanan ahli parlimen itu mulai tersebar menerusi aplikasi WhatsApp semalam yang antara lain mengaitkannya dengan dakwaan rasuah.
Ia dikatakan berkaitan urusan pembinaan bagi membolehkan syarikat milik kontraktor tertentu mendapat tender baik pulih kemudahan awam bernilai hampir RM1 juta.

