ULASAN l Seperti ramai orang, saya juga terdiam dan kaku sebentar bila membaca berita
berkenaan tragedi pembunuhan dahsyat di Orlando.

Seperti kebanyakan orang juga persoalan terbesar timbul adalah “apa sudah jadi dunia sekarang?”

Kejahatan makin hari makin melampau dan sering menggugat ketenangan kita dengan cara-
cara baru yang cukup menjelikkan dan mengejutkan.

Namun apa yang lebih membuatkan saya tergamam adalah bagaimana masyarakat kita sendiri memberikan respon terhadap isu ini.

Bagi saya ini merupakan tragedi lebih dahsyat berbanding Orlando itu sendiri.

Saya jangkakan masyarakat kita yang kononnya dikenali sebagai prihatin dan berbudi bahasa akan menyatakan bantahan dan simpati besar-besaran seperti apa yang berlaku di Gaza, Syria, Mesir, Rohingya, Tak Bai, Paris, Ambon dan pelbagai tempat yang berlaku tragedi di seluruh dunia yang kita berkabung untuknya.

Tapi itu tidak berlaku kali ini. Kemanusiaan yang kononnya ada pada diri kita tersekat hanya kerana mangsa yang terkorban dalam peristiwa dahsyat ini adalah di kalangan gay.

Hanya kerana kebencian kita pada gay kita sanggup membuang kemanusiaan itu sejauh mungkin.

Masyarakat kita sama ada mengambil posisi mendiamkan diri dan tak kisah atau lebih parah meraikan pembunuhan itu.

Entah di mana hilang kewarasan akal dan empati bila tergamak bersetuju dengan pembunuhan ini.

Katanya golongan gay memang tak layak hidup dan wajar dibunuh.

Apa masyarakat kita sedang menuju ke arah menjadi Tuhan untuk menentukan siapa patut hidup dan siapa patut mati?

Meskipun ada doktrin agama yang membincangkan kesalahan bagi gay atau homoseksual itu tidak bermakna mereka boleh dibunuh sesuka hati seakan tak ada nilai.

Tidak ada agama yang mengajar pembunuhan boleh dilakukan sewenang-wenangnya malah semuanya menyokong pencabutan nyawa wajib melalui proses perbicaraan yang adil bukan boleh dibuat ikut mood penganutnya.

Isu pokok yang lebih besar adalah pembunuhan, bukan siapa yang terbunuh.

Namun tahap kesedaran masyarakat kita ialah melihat dulu siapa yang terbunuh.

Jika logik ini digunapakai maka apa perlunya kita raih simpati seluruh masyarakat dunia terhadap isu Palestin misalnya? Boleh sahaja mereka membiarkan dan tidak ambil peduli kerana yang terbunuh adalah Muslim.

Apa perlunya mereka membantah sama sedangkan mereka bukan Muslim?

Inilah kedangkalan berfikir orang kita, bila isu Palestin ingin dilobi pada masyarakat non Muslim kita mengajak mereka bersepakat atas nama kemanusiaan, namun bila isu kemanusiaan sama timbul pada mereka non Muslim kita ambil sikap lepas tangan.

Tidakkah ini menjijikkan?

Bukan bermakna bila anda mengecam pembunuhan Orlando maka anda menjadi homoseksual tiba-tiba.

Itu sangat mengarut. Juga tidak bermaksud dengan bantahan terhadap pembunuhan ini menunjukkan anda bersetuju dengan gay.

Kecam dan bantahlah atas satu persamaan yang Tuhan ciptakan pada anda dan mereka iaitu
sebagai manusia.

Mereka ada keluarga, ada ibu bapa yang trauma melihat anak yang dibesarkan selama ini terbaring dalam keranda.

Letakkan diri anda di tempat keluarga mereka, orang-orang yang merasai kehilangan mereka, rasakan kepedihan itu dan bersuaralah sebagai suara manusia waras yang cintakan keamanan dan
inginkan keluarga anda sendiri tidak hidup dalam terancam.

Pemuda PSM, mengecam segala bentuk penindasan dan tidak akan reda dengan kezaliman walau di mana ia berlaku.

Simpati dan takziah kami buat seluruh keluarga dan kenalan mangsa Orlando.


Nik Aziz Afiq Abdul adalah AJK Pusat, Pemuda, Parti Sosialis Malaysia