Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga kini belum menerima sebarang perkembangan mengenai wang pampasan untuk jemaah yang terkorban dan cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada musim haji September tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun berkata TH sentiasa memantau dan berhubung dengan kerajaan Arab Saudi berhubung status pembayaran itu.

"Setakat ini kita belum dapat apa-apa maklum balas mengenainya dan ini di bawah kuasa dan hak mutlak kerajaan Arab Saudi untuk membayarnya dan kita hanya membantu dari segi urusan pembayaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ramli Shariff mengenai status pembayaran pampasan itu pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Tragedi pada 11 September lepas itu mengorbankan lebih 100 orang jemaah dari seluruh dunia termasuk tujuh dari Malaysia.

Ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah sama ada kerajaan mengamalkan pilih kasih dengan memberi peluang kepada individu tertentu untuk menunaikan haji setiap tahun, Asyraf Wajdi berkata perkara itu tidak wujud kerana setiap yang berdaftar dengan TH, mereka akan diberitahu giliran bagi menunaikan ibadah itu.

"Tidak ada persepsi yang dimainkan dalam masyarakat kita bahawa adanya kuota istimewa kepada 'VIP' tertentu, tetapi memang wujud sesetengah pihak yang dapat kuota terus daripada kerajaan Arab saudi atau menerusi kedutaannya.

"Ini tiada kaitan dengan kuota yang diberikan peruntukan kepada TH sebagai wakil pemerintah untuk menguruskan jemaah haji kita," katanya.

TH mencatatkan jumlah pendaftaran haji sebanyak 2.17 juta setakat 10 Jun lepas dan ini telah menjadikan tempoh menunggu yang lama bagi menunaikan ibadah haji iaitu mencecah 87 tahun, katanya.

"Isu dan permasalahan ini dihadapi oleh semua negara dan rata-rata mempunyai jumlah bilangan menunggu yang tinggi," katanya menjawab soalan Senator Dr Johari Mat yang ingin tahu usaha kerajaan menangani permohonan mengerjakan haji yang ramai dan terpaksa menunggu masa lama.

- Bernama