'Menang atau kalah, BN tetap bina jambatan Manong'
Sama ada BN menang atau kalah pada pilihan raya kecil 18 Jun ini, kerajaan pusat tetap akan menunaikan janji membina Jambatan Manong di Kuala Kangsar, tegas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Katanya, janji bagi membina jambatan itu bukan projek 'pilihan raya' tetapi impian bekas ahli parlimen kawasan itu, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
"Ini bukan projek pilihan raya, apa yang pasti projek ini apa yang kita dijanjikan oleh PM dan yang diharapkan oleh arwah, calon BN serta pemimpin setempat untuk kebajikan penduduk di Manong selain memang diluluskan dalam RMK ke 11," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke tapak pembinaan Jambatan Manong, Kuala Kangsar hari ini.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM43.5 juta bagi membina jambatan itu yang menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong, dekat Kuala Kangsar.
Bagaimanapun, pengumuman itu dikritik parti pembangkang khususnya AMANAH yang mendakwa BN telah berulangkali membuat janji sama.
Sementara itu, mengulas spesifikasi jambatan tersebut Fadillah berkata pembinaanya akan menggunakan kaedah sedia ada seperti jambatan lain.
Beliau juga dimaklumkan bahawa jambatan itu perlu dibina dengan daya tahan bagi berdepan ancaman banjir termasuk hanyutan balak.
"Sebab itu perundingan setempat, kajian mendalam akan dilaksanakan dan selewat-lewatnya Mac tahun depan kerja akan bermula," katanya.

