‘Budak bancuh kopi’ hantar bos awak ke penjara - pegawai Rosmah
Pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor menyelar Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang melabelnya, sebagai ‘budak angkat beg’ Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau mengingatkan Rafizi supaya tidak lupa bahawa ‘budak bancuh kopi’ yang menjatuhkan ketuanya, secara jelas merujuk kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara.
“Soal Rafizi Ramli nak hina saya dengan apa jua gelaran, ia tak menjadi kudis kepada saya.
“Kalau sudah begitu anggapan beliau, apalah nak disekat budak angkat beg mendengar sidang media?
“Jangan lupa budak bancuh kopi pun boleh hantar bos awak ke belakang jeriji besi,” katanya di Facebook hari ini.
Rizal jelas merujuk kepada Saiful Bukhari Azlan yang digambarkan oleh lawan Anwar sebagai sebagai ‘budak bancuh kopi’ bekas ketua pembangkang itu.
Saiful kemudiannya menuduh Anwar meliwatnya, menyebabkan Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Februari tahun lalu.
Anwar menegaskan bahawa sabitan itu bermotifkan politik.
Rizal juga menuduh Rafizi bukan seorang anak jantan dan menuduhnya sebagai "anak ikan" yang membawa kiasan sebagai homoseksual dalam budaya Melayu.
Rafizi hari ini berkata beliau hanya mahu berdepan dengan Rosmah dan bukannya ‘budak pengangkat beg’ isteri perdana menteri itu selepas menghalang dan melarang Rizal daripada menghadiri sidang akhbarnya, semalam di Kuala Kangsar.
Rafizi sebelum ini mengadakan beberapa siri sidang media untuk mendedahkan penggunaan jet peribadi kerajaan oleh.
Dalam satu kenyataan berasingan, Rizal berkata sejak lebih awal dirinya mengaku di depan media semalam bahawa beliau hanya seorang insan kerdil.
“Tapi dari satu sudut saya amat berbangga kerana budak pengangkat beg seperti saya ditakuti Rafizi hinggakan hendak mendengar sidang media Rafizi pun tidak dibenarkan.
“Bertindaklah seperi anak jantan wahai saudara Rafizi, bukannya bertindak seperti anak ikan,” katanya.

