Pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan rakyat jelata sudah jemu dengan pembangkang dan telatah mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada masa yang sama, beliau turut menyelar tindakan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa kemenangan BN pada Sabtu lalu adalah akibat dua penyakit rakyat.

"Rafizi terdesak dan tidak dapat menerima kekalahan pembangkang dalam kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar sehingga sanggup menyalahkan pengundi," katanya, memetik laporan Umno Online.

Pada masa yang sama, Azalina menambah, ahli parlimen pembangkang tidak pernah memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan kawasan mereka di Dewan Rakyat.

“Pembangkang dalam Parlimen, tidak pernah memperjuangkan isu rakyat di kawasan mereka.

"Semua isu yang mereka bawa adalah tidak relevan dan lebih kepada isu peribadi atau serangan peribadi. Jadi, saya merasa rakyat pun jemu dengan pembangkang,” katanya.

BN juga, ujar Azalina, tidak pernah mempersoalkan atau memperkecilkan pilihan rakyat apabila pembangkang menang di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor dalam pilihan raya umum yang lalu.

““Malah, kita memberi komitmen untuk bekerja bersama-sama kerana itu merupakan pilihan rakyat di negeri itu," jelas beliau lagi.