‘Tak perlu ubati pembangkang, talkinkan mereka pada PRU-14'
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos menyertai barisan pemimpin BN/Umno yang membidas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berhubung reaksinya terhadap keputusan pilihan raya kecil berkembar, Sabtu lalu.
Membantah dakwaan Rafizi bahawa kemenangan BN itu adalah akibat dua penyakit rakyat - sentimen perkauman atau keagamaan dan kebendaan - Jamal berkata pembangkang sebenarnya makin parah dengan barah.
Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada sebab untuk mengubati mereka.
“Rafizi, Tony Pua dan parti-parti pakatan ini tidak perlu diubati lagi, tak payah nak bagi ubat dan sebagainya, sebaliknya kita talkinkan (mereka) pada PRU-14 yang akan datang,” katanya yang dipetik portal Umno Online.
Untuk memastikan ini, Jamal menggesa jentera BN dan Umno di Selangor untuk bekerja keras dalam usaha untuk menawan semula negeri itu yang berada di tangan pembangkang sejak tahun 2008.
“Teruskan penyatuan kita, kerja keras kita, ukhwah di kalangan ahli Umno dan perkukuhkan kerjasama yang lebih erat bersama rakan-rakan kompenan BN yang lain.
“Dekati dan selami masalah rakyat, insya-Allah mereka akan kembali menyokong dan bersama BN dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Pemimpin lantang Umno ini juga mendakwa barah pembangkang menyebabkan pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjauhi mereka.
“Kalau mereka tak berpenyakit, rakyat akan mengundi dan memberikan kemenangan kepada mereka,” katanya.
Jamal mendakwa barah pembangkang telah mencapai tahap kritikal sehingga mereka tidak lagi dapat menerima kekalahan dalam pilihan raya berkembar itu.
“Lebih teruk di Kuala Kangsar apabila mereka bukan sahaja kalah kepada BN malah AMANAH (Parti Amanah Negara) ketinggalan kepada parti PAS yang mana ada bekas pemimpin mereka melabelkan PAS sebagai parti kebudak-budakan,” katanya.

