Rakyat tak percaya tuduhan dedak Dr M
Keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu lalu menunjukkan rakyat tidak lagi mempercayai dakwaa Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ahli Umno dibeli.
Itu adalah di sebalik tindakan Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (Gaum) menarik saman mereka, bukannya kerana takut kepada bekas perdana menteri bekenaan.
Presiden Gaum, Zulkarnain Mahdar berkata keputusan dua pilihan raya kecil itu juga menunjukkan rakyat memberi isyarat bahawa tuduhan Dr Mahathir mengenai "pemakan dedah" tidak dapat diterima.
"Cukuplah," katanya kepada media di luar Balai Polis Sri Petaling di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu Zulkarnain membuat laporan kedua kepada polis berhubung pos Dr Mahathir di blognya, bertajuk "Kebebasan Bersuara" pada 7 Jun lalu.
Laporan polis pertama dibuat Zulkarnain juga berhubung pos sama dan dibuat mengikut Akta Hasutan.
Kali ini katanya laporan dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Dalam pos Dr Mahathir beliau berkata ahli Umno tidak lagi bersuara selapas diberi "dedak" dan pihak yang masih menyokong Datuk Seri Najib Razak adalah "pengkhianat" kepada negara dan demokrasi.
Kurang bijak terus saman
Kata Zulkarnain keputusan dua pilihan raya kecil baru-baru ini juga menunjukkan Deklarasi Rakyat tidak mendapat sambutan.
"Bagi kami rakyat telah bersuara di dua kawasan parlimen, ia adalah referandum rakyat yang jelas memberikan mesej kepada Dr Mahathir bahawa deklarasi yang (digerakkannya) sedikit sebanyak tidak mendapat sambutan.
"Justeru kami fikir meneruskan tindakan saman (ke atas Dr Mahathir) adalah tindakan yang kurang bijak dilakukan oleh kami," katanya.
Menegaskan dia tidak pernah mendapat sebarang imbuhan daripada Najib, Zulkarnain berkata dia berharap Dr Mahathir mempertimbangkan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka kerana didakwanya "berat sebelah."
"Bukan ringan tuduhan Tun (Dr Mahathir) yang menyatakan bahawa penyokong Najib memakan dedak.
"Dalam bulan Ramadan ini, demi Allah satu sen pun kami tidak pernah menerima suapan daripada Najib.
"Bagi kami, perjuangan kami adalah berlandaskan kepada kepercayaan kami terhadap parti kami," katanya.

