Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menjelaskan bahawa jumlah kutipan zakat seluruh negara pada
2013 adalah sebanyak RM2.2 bilion.

MAIWP dalam kenyataan di sini hari ini, berkata jumlah kutipan itu dinyatakan dalam teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri JamilKhir Baharom yang disediakan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan pada 17 November 2014.

"MAIWP ingin memohon maaf atas ralat mengenai penafian jumlah zakat yang dikutip dalam maklum balas semalam," menurut MAIWP mengenai kenyataannya semalam, yang menyatakan jumlah RM2.2 bilion itu adalah hasil kutipan Pusat
Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) sejak ditubuhkan pada 1991 hingga 2013.

MAIWP berkata sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama termasuk urusan zakat adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri dan laporan mengenainya perlu dirujuk kepada agensi mengurus zakat di negeri dan bukannya PPZ-MAIWP.

Selain itu, laporan kutipan dan agihan zakat di Wilayah Persekutuan telah dimasukkan dalam Buku Laporan Tahunan MAIWP dan boleh dimuat turun daripada www.maiwp.gov.my, menurut kenyataan itu

Suara Rakyat dalam akaun Facebooknya semalam, mendakwa sehingga kini tiada pengumuman mahupun laporan kutipan zakat bagi 2014 dan 2015 yang dikeluarkan, selain mempersoal 'ada sesuatu berlaku' pada kutipan zakat itu, yang ingin
disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

- Bernama