Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan mencabar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Akhbar Berita Harian memetik Wan Azizah berkata Mahathir perlu bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya negarawan itu mahu terus membabitkan diri dalam kancah politik negara.

Malah, katanya, tindakan berkenaan juga bagi membuktikan Mahathir layak untuk menyertai blok pembangkang.

"Kalau Tun (Dr Mahathir) mahu jadi ketua pembangkang, beliau perlu bertanding dulu. Saya naik (menjadi ketua pembangkang) pun kerana bertanding dan ada kerusi di Parlimen.

"Saya harap Tun pun boleh buat begitu," katanya.

Presiden PKR itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mencabar Mahathir menentang BN secara terbuka sebagai ahli politik pembangkang dan bukan berselindung di sebalik gerakan bukan politik atau kepartian.

Salleh dalam tulisan di blognya berkata, mengambil kedudukan rasmi dalam kepimpinan pembangkang adalah suatu tindakan yang tepat memandangkan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu sudah memainkan peranan tersebut secara de facto.

Mahathir kini mengetuai gerakan Deklarasi Rakyat yang bertujuan mengumpul tandatangan rakyat bagi menggesa campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur.