Imam Muda Ammar jelaskan kenyataan antivaksin
Peserta Imam Muda, Ammar Wan Harun berkata kenyataan beliau di Facebook telah disalahtafsirkan sebagai antivaksin.
Peserta realiti TV itu menerima kritikan daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang menyelar beliau kerana menggunakan agama untuk tidak menggalakkan vaksinasi.
"Saya bukanlah tegar antivaksin kerana anak saya juga diberikan suntikan vaksin waktu kelahiran. Cuma saya ingin supaya pihak yang menolak vaksin dihormati dengan pandangan mereka. Janganlah seolah-olah sesuatu itu dianggap seperti lebih berkuasa daripada takdir.
"Relaxlah. Usik sikit pun tak boleh," seloroh Ammar.
Ammar juga berkata beliau memadamkan catatatan awalnya di Facebook kerana 'terlalu banyak pahala yang beliau dapat' dan telah menyebabkan 'ramai kehilangan pahala dan bertambah dosa'.
Dua kematian akibat difteria
Ammar sebelum ini mengulas mengenai kematian seorang kanak-kanak di Melaka yang tidak diberikan vaksin.
"Oh, ingatkan 90 peratus. Rupanya 1 peratus pun tak sampai.
"Tak tahu pula malaikat maut tak cabut nyawa budak yang vaksin.
"Dan tak tahu pula budak yang vaksin dapat extra nyawa. Untungla..
"Ada tak vaksin selamat daripada kemalangan jalan raya. Jangan marah, tanya je," tulisnya.
Noor Hisham, sebagai respon berkata tulisan yang tidak bertanggungjawab yang mempergunakan agama menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.
"Satu perbuatan yang memalukan," katanya yang turut memaparkan kenyataan Ammar di Facebook.

