PRU14: BN perlu buat pemetaan, kenal pasti kehendak pengundi
Barisan Nasional (BN) harus melakukan pemetaan kawasan bagi mengetahui secara jelas kehendak pengundi jika berhasrat meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata selain faktor calon, pemetaan kawasan pilihan raya yang dilakukan akan memudahkan parti merencana strategi ke arah memenuhi keperluan penduduk berdasarkan pemetaan yang dibuat.
"Ketika ini, BN tidak ada melakukan mapping di setiap kerusi yang ditandingi bagi mengetahui kehendak pengundi di kawasan tersebut, dan perlu diingat setiap kawasan, kehendak penduduk adalah berbeza-beza.
"Melalui pemetaan kawasan pilihan raya, parti boleh merencana strategi berdasarkan kemahuan setempat dan tindakan yang diambil tentunya akan lebih spesifik kepada apa yang dikehendaki penduduk," katanya pada sidang media selepas Perbincangan Meja Bulat: Transformasi Pengundi Malaysia Menjelang PRU14 di Putrajaya hari ini.
Selain wakil badan bukan kerajaan, perbincangan lebih tiga jam itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN Prof Dr Jayum
Jawan.
Shamsul Amri berkata pemerhatiannya mendapati kaedah itu mula dipraktikkan sama ada 'secara sedar atau tidak' semasa pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar dan hasilnya BN memperoleh kemenangan besar dan
luar biasa.
Walaupun faktor kemenangan itu dikaitkan dengan perpecahan dalam kalangan pembangkang, namun kejayaan BN di kedua-dua pilihan raya itu terhasil melalui keupayaannya mengenal pasti serta menangani keperluan sebenar penduduk seperti isu pertanian, perikanan dan jalan perhubungan, katanya.
"Di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kita lihat BN boleh lakukan pemetaan kawasan Parlimen, tetapi apakah ia boleh dibuat di setiap kawasan pilihan raya... itu cabaran utama selepas ini," katanya.
Dalam pada itu, Raduan berkata kemenangan besar BN pada kedua-dua PRK itu serta pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini seakan memberi nafas baru kepada parti pemerintah untuk melonjak kejayaan lebih besar pada PRU ke-14 (PRU14) akan datang.
"Jika politik untuk menjuarai rakyat ini dipraktikkan, kemenangan dua pertiga undi boleh diraih BN kerana pengundi akhirnya akan memikirkan apakah yang politik boleh sajikan kepada kehidupan seharian mereka," katanya.
- Bernama

