Berhenti meroyan bila kalah, Vell Paari tegur Rafizi
Rafizi Ramli bertindak seperti 'pesakit yang meroyan' ekoran kekalahan pembangkang dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar selepas mempertikaikan hak demokratik pengundi dalam memilih wakil rakyat mereka, kata Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya kecil berkembar Sabtu lalu menunjukkan orang ramai tidak mempercayai pembangkang, dan setiausaha agung PKR itu harus menerima terma sedemikian.
"Pada dasarnya, rakyat tidak lagi mempercayai pembangkang. Jadi Rafizi Ramli perlu berhenti menyalahkan rakyat bagi menyembunyikan kelemahan partinya.
"Rafizi perlu berhenti menjadi pesakit yang meroyan. Jika beliau tidak tahan dengan politik atau kekalahan, ambil cuti," kata Vell Paari dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Rafizi melahirkan rasa terkejut dalam catatan Facebooknya selepas pilihan raya kecil berkembar itu kerana para pengundi terus menyokong BN tatkala negara bergelut dengan isu-isu seperti kenaikan kos hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selain skandal 1MDB.
Beliau mengandaikan para pengundi "dijangkiti oleh dua penyakit yang teruk" yang BN telah menggunakan selama beberapa dekad iaitu sentimen agama dan kaum, serta kebendaan.
Bagaimanapun, ujar Vell Paari, BN menang kerana para pengundi sudah bosan dengan "idea-idea lama politik kebencian" dan pembohongan melampau.
Pada masa yang sama, tambahnya, rakyat dapat melihat bahawa BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah membawa pembangunan.

