Kes pengubahan wang haram 1MDB: BSI rayu keputusan Finma
Bank Swiss, BSI merayu terhadap keputusan pemantau kewangan Swiss, Finma yang mendakwa BSI telah melanggar peraturan pengubahan wang haram melalui hubungan perniagaan dan transaksi yang dikaitkan dengan 1MDB.
Finma, pada bulan lalu, mengarahkan BSI untuk menyerahkan keuntungan berjumlah 95 juta Swiss francs (AS$99,400,000 ) dan menutup bank itu apabila ia telah diintegrasikan ke dalam EFG Antarabangsa yang sememangnya dalam proses pembelian BSI.
1MDB sedang bergelut di tengah-tengah yang rasuah skandal bernilai berbilion dolar dengan transaksinya telah mencetuskan proses siasatan di tiga benua.
Dalam kenyataan hari ini, BSI yang berpangkalan di Lugano berkata, ia telah membawa rayuan kepada Mahkamah Pentadbiran Persekutuan Swiss dengan alasan prosedur Finma itu "cacat dalam banyak aspek dan keputusan Finma itu, seperti tidak seimbang dan tidak betul", memetik laporan Reuters.
"Selain daripada itu, komunikasi Finma terhadap perkara itu telah memberi kesan nagatif terhadap reputasi bank dan para pekerjanya," kata BSI.
BSI berkata, pihaknya telah berhubung dengan Finma mengenai kes 1MDB sejak musim luruh tahun 2013 dan semua hubungan pelanggan yang berkaitan dengan 1MDB telah ditamatkan pada awal tahun 2015.
"Justeru, sementara BSI mengakui kelemahan dalaman tertentu pada masa lalu, BSI percaya bahawa keputusan tersebut, masa serta cara bagaimana Finma memutuskan untuk menyampaikan maklumat itu secara keseluruhannya adalah tidak sesuai ," kata BSI.
Jurucakap Finma enggan mengulas mengenai tindakan BSI itu dan merujuk semula kepada kenyataannya pada bulan Mei yang lalu.
Finma berkata, pada bulan lalu, BSI telah berkali-kali terlepas banyak amaran yang dikeluarkan dalam pelbagai pemindahan melibatkan 1MDB selama beberapa tahun, dan gagal menyemak transaksi suspek berpotensi, termasuk deposit sebanyak AS$20 juta yang dianggap oleh pelanggan sebagai "hadiah".

