Lebih ramai akan sisih teksi jika serang Uber, Grabcar - SPAD
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menasihatkan supaya pemandu teksi tidak mengambil tindakan sendiri dan mengikut perasaan.
Malah, menurutnya, sekiranya pemandu teksi berterusan mengambil tindakan sendiri, ia akan menyebabkan orang ramai memilih untuk menggunakan perkhidmatan kereta Uber berbanding teksi.
"Kira kena fikir sebelum ambil tindakan. Jangan bertindak ikut perasaan. Lagi kita mogok lagi orang nak guna Uber, Grabcar. Sebab ia hanya perlu menggunakan aplikasi sahaja.
"Saya harap kita jangan guna emosi dan ambil tindakan bertentangan dengan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Bukit Kiara, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan mengenai dakwaan kejadian pemandu teksi menyerang pemandu Uber di KL Sentral yang turut melibatkan pelancong asing pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, pihak polis menafikan kejadian tersebut.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan pemandu teksi agar menjaga nama baik mereka serta tidak menjejaskan nama baik negara.
"Orang akan takut untuk naik. Bila saya dengar melibatkan pelancong asing, saya takut. Amat mustahak sekali kita tidak menjejaskan imej nama baik negara kita terhadap pelancong.
"Paling penting, Malaysia terkenal dengan kemesraan kita, adab kita. Jangan ambil tindakan undang-undang di tangan kita sendiri dan lakukan perkara bertentangan," katanya lagi.
Sementara itu, ketika berucap semasa majlis berbuka puasa tersebut, bekas menteri kabinet itu menyarankan supaya tidak merungut dan bersyukur dengan keadaan negara kini.
Katanya, berbanding negara-negara lain, Malaysia sebuah negara yang terbaik dalam struktur penduduknya yang majmuk.
Malah, jelasnya, kerajaan yang ada bukan dipimpin oleh malaikat sebaliknya oleh manusia biasa.
"Kita perlu bersyukur negara ini penduduknya majmuk. Jadi jangan merungut terlalu banyak mengenai negara kita. Ini negara terbaik yang kita boleh tinggal.
"Saya rasa anda semua perlu bersyukur. (Negara) ini bukan sempurna. Ini bukan kerajaan dipimpin malaikat tetapi manusia.
"Ia kesilapan manusia. Jadi, terima seadanya," katanya lagi.

