Tiga lagi individu tampil membuat pengakuan mereka diperas ugut oleh Pengerusi Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R Sri Sanjeevan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bercakap pada sidang akhbar di Ampang hari ini, Khalid berkata, tiga individu itu mendekati pihak polis selepas keluar berita penangkapan Sanjeevan.

Ketua badan pemantau jenayah itu ditahan bersama-sama dengan pemandunya kerana ugutan jenayah dan peras ugut pada hari Rabu.

Ini berikutan aduan daripada seorang lelaki, yang dikatakan pengendali judi haram, yang mendakwa Sanjeevan mengancam untuk mendedahkannya dalam talian sekiranya tidak membayar wang perlindungan.

Khalid berkata pengadu sedang dilindungi sebagai saksi, dan polis kini tidak bercadang untuk membuat pendakwaan terhadapnya.

"Beliau adalah seorang pemberi maklumat yang telah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi," kata Khalid.

Beliau berkata polis masih menimbangkan sama ada untuk melanjutkan perlindungan saksi kepada tiga yang lain yang mendakwa mereka diperas ugut oleh Sanjeevan.

Sanjeevan kini ditahan reman sehingga Khamis ini.

Sementara itu, mengenai janji beliau tahun lepas untuk menghentikan semua operasi perjudian haram di negara ini, Khalid berkata polis menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian kerana mengesan dan memantau semua pusat perjudian akan memerlukan banyak tenaga kerja.

Beliau berkata polis juga mempunyai masa yang sukar kerana beberapa pusat judi menyembunyikan operasi mereka di bawah nama pusat hiburan dan snuker.

"Sebab itu kami mencadangkan semua pusat hiburan untuk diletakkan di satu kawasan di dalam setiap negeri. Ini akan menjadikan ia lebih mudah bagi pihak berkuasa memantau aktiviti mereka," katanya.