MAHB, AirAsia, kementerian dijangka bincang isu klia2 tak lama lagi
Satu perbincangan dijangka diadakan tidak lama lagi antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Kementerian Pengangkutan dan AirAsia Bhd berhubung penjenamaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata pengendali lapangan terbang itu terbuka untuk berbincang berhubung perkara tersebut bagi mencapai matlamat yang sama - pertumbuhan industri penerbangan Malaysia.
AirAsia dan MAHB berbalah pendapat baru-baru ini susulan hasrat syarikat penerbangan tambang murah itu yang tetap mahu meneruskan kempen promosinya untuk merujuk klia2 sebagai LCCT2.
MAHB dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong berkata klia2 ialah nama berdaftar lapangan terbang itu di bawah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
"Tidak perlu untuk menyeret perkara ini di khalayak ramai. Saya rasa semua ketiga-tiga pihak mahukan perkara yang sama iaitu pertumbuhan bagi industri penerbangan.
"MAHB terbuka untuk berbincang mengenai isu ini secepat mungkin. Kami sering bertemu untuk membincangkan bagaimana untuk mempromosikan negara dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan ke negara ini," kata Badlisham semasa ditemui selepas pelancaran penambahan kekerapan penerbangan KLM Royal Dutch Airlines dari Kuala Lumpur ke Amsterdam di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Badlisham berkata MAHB dan AirAsia tahu benar bahawa nama klia2 tidak boleh diubah dan ia juga melanggar undang-undang penerbangan antarabangsa jika berbuat demikian.
"Terdapat kebebasan bersuara, tetapi ia tidak membantu dari segi mempromosikan kemudahan itu dan negara. Malahan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) berkata tiada perubahan kepada klia2, dan kami berharap semua rakan kongsi dan syarikat penerbangan akur," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan AirAsia bahawa ia tidak mendapat sokongan secukupnya daripada MAHB, Badlisham berkata adalah tidak betul untuk mengatakan demikian kerana kedua-dua Malaysia Airports dan kerajaan menyokong sepenuhnya
syarikat penerbangan terutamanya AirAsia untuk membantu mereka berkembang dalam tempoh 10 tahun lepas.
Mengenai kemungkinan AirAsia membina lapangan terbang tambang rendahnya sendiri, beliau berkata: "klia2 dibina bagi menampung sehigga 45 juta penumpang setahun dan kami komited membina landasan ketiga untuk menyokong pertumbuhan syarikat penerbangan itu."
Apabila ditanya sama ada pengendali lapangan terbang itu bimbang sekiranya AirAsia tidak beroperasi dari klia2, Badlisham berkata: "Kami tidak boleh menentukan apa yang AirAsia mahu lakukan. Itu keputusan perniagaan mereka. Tetapi kami akan terus mengalu-alukan kedatangan semua syarikat penerbangan."
- Bernama

