Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri Tunku Mahkota Johor selamat lahirkan puteri sulung
Diterbitkan:  Jun 25, 2016 1:30 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Isteri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Khaleeda Bustamam, hari ini selamat melahirkan puteri
sulung di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru.

Kelahiran berkenaan diumumkan Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli menerusi satu kenyataan, hari ini.

"Jumaah Majlis Diraja Johor merafak syukur ke hadrat Allah S.W.T dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor dan Yang Mulia Che' Puan Khaleeda Bustamam atas keputeraan anakanda pertama baginda berdua iaitu seorang puteri pada 25 Jun 2016 bersamaan 20 Ramadan 1437 di Wad Diraja HSA," katanya.

Abdul Rahim berkata Che' Puan Khaleeda dan paduka puterinya berada dalam keadaan sihat walafiat.

Sementara itu, laman rasmi Facebook Johor Darul Ta'zim (JDT), JOHOR Southern Tigers turut memuat naik catatan merafak syukur kepada Allah S.W.T dan setinggi-tinggi tahniah kepada Tunku Ismail dan isteri baginda.

Laman berkenaan turut berkongsikan gambar Tunku Ismail dan Che' Puan Khaleeda bersama paduka puteri selain turut menerima ucapan tahniah daripada netizen.

Tunku Ismail dan Che' Puan Khaleeda melangsungkan pernikahan pada 2014.

- Bernama

Lihat Komen
ADS