Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar tingkatan 5 hampir putus jari mercun meletup
Diterbitkan:  Jun 25, 2016 2:57 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, Tanah Merah, hampir putus tiga jari
kanannya dan cedera ringan di muka selepas mercun bola meletup di tangannya, semalam.

Ibu mangsa, Engku Aznah Engku Ismail, 45, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika anaknya, Nik Rashidi Azman, 17, sedang bermain mercun di rumah rakannya.

"Pada mulanya saya tak percaya apabila anak keempat, Nik Riduan, 15, cakap abangnya terkena mercun dan cedera di tangan serta muka, namun saya reda selepas dihubungi Hospital Tanah Merah berhubung kejadian itu," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu hari ini.

Engku Aznah berkata Nik Rashidi tidak memberitahunya mengenai kemalangan itu dan remaja itu dihantar rakan-rakannya ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata anak ketiganya itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada kira-kira 8 malam tadi.

"Buat masa sekarang doktor hanya benarkan jarinya yang cedera itu dicuci sahaja. Doktor belum buat keputusan sama ada akan potong atau biarkan ia sembuh," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS