Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu jet Indonesia pintas pesawat TUDM selesai'

Insiden pesawat Charlie C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipintas dua jet pejuang Indonesia dalam ruang udara berhampiran Pulau Natuna, Indonesia pada Sabtu lepas, akan diselesaikan segera menerusi saluran diplomasi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihaknya telah mengadakan dua perbincangan mengenai insiden itu dengan Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral Ryamizard Ryacudu.

"Dalam perbincangan itu, beliau (Ryamizard) menyatakan bahawa tiada isu yang tidak mampu diselesaikan di antara kedua-dua negara termasuk tentang isu ketenteraan. Ia adalah berkat hubungan baik di antara Ryamizad dan saya.

"Ryamizard turut menyatakan komitmen untuk meneliti isu ini secara serius dan sedia mengambil tindakan. Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan isu ini dengan segera tanpa menjejaskan hubungan baik yang terjalin di antara Malaysia dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kawasan operasi perbatasan di Kem Marker November, Tasik Banding dan Markas Taktikal 749 di Kem Sri Banding, semalam.

Sabtu lepas, pesawat Charlie C130 TUDM dari Pangkalan TUDM Subang ke Labuan dipintas dua jet pejuang Indonesia ketika berada di laluan berhampiran Pulau Natuna, Indonesia.

-Bernama

Lihat Komen
ADS