Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita maut, terpelanting keluar dari bas
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 10:55 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Dua maut manakala 36 penumpang terselamat apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di KM 194.9 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah utara di Bagan Serai, hari ini.

Penumpang wanita yang meninggal dunia dikenali sebagai Ho Mei Liang, 46,dari Pulau Pinang tersepit manakala pemandu bas Zulkifli Mohd Yusof yang cedera parah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gunung Semanggol.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata dalam kejadian 5.45 petang itu bas ekspres Plusliner berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai terbabas ke kanan setelah mengelak daripada melanggar sebuah tayar yang jatuh di lorong kanan lebuh raya.

"Apabila mengelak bas itu telah melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya tersebut.

“Penumpang wanita berkenaan yang duduk di kerusi penumpang di sebelah kanan terpelanting keluar ke cermin depan bas dan mati di tempat kejadian manakala pemandu bas ekspres itu pengsan dan telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gunung Semanggol," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seorang penumpang Hashimi Abdullah, 50 berkata beliau dan isterinya Erliarahmazaini, 40, dan anak lelakinya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Hashimi dan anaknya tercampak ke depan tetapi beliau tidak cedera manakala anak dan isterinya cedera ringan iaitu luka di tangan kiri dan kaki kiri.

"Saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian ini," katanya yang akan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Medan, Indonesia.

Kemalangan itu menyebabkan laluan itu mengalami kesesakan trafik sejauh 10 kilometer.

- Bernama

Lihat Komen
ADS