PM harus bersuara lenyapkan retorik 'kafir harbi', kata CFM
Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) membidas pandangan mufti Pahang berkenaan mereka yang menentang undang-undang hudud sebagai 'kafir harbi' sambil menyeru Perdana Menteri agar melenyapkan retorik tersebut.
"Adalah dikesalkan mufti negeri selaku ulama Islam paling kanan negeri dan seorang penjawat awam menggunakan istilah tanpa berfikir tentang apa yang mungkin terlintas dalam fikiran rakyat Malaysia," kata Pengerusi CFM, Eu Hong Seng dalam kenyataan.
"Kami kecewa dengan sikap berdiam diri selama ini kerana masyarakat kita dilanda isu-isu memecah-belahkan kaum dan agama.
"Kita perlukan kepimpinan kuat dari perdana menteri dan kerajaannya untuk melenyapkan segala macam retorik pecah belah yang muncul di negara ini," ujar beliau.
Beliau berkata, sikap aktif dan proaktif dari Jabatan Perpaduan Negara dan integrasi nasional perlu bekerja keras untuk mengekalkan keamanan negara.
Eu menambah, rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk mempersoalkan pelaksanaan undang-undang Islam.

