Kementerian Pendidikan pertimbang wajibkan vaksin untuk pelajar sekolah
Kementerian Pendidikan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan terlebih dahulu sebelum langkah untuk mewajibkan pelajar mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penyakit berbahaya diputuskan, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata sekiranya diputuskan bahawa suntikan vaksin itu diwajibkan, pelaksanaannya akan dilakukan dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
"Kementerian Pendidikan sedang menunggu pandangan daripada Kementerian Kesihatan berkaitan suntikan vaksin ini dan selepas itu kita akan kemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk diluluskan.
"Apabila diluluskan, semua pelajar sekolah akan diwajibkan untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit atau wabak yang berbahaya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Kuala Nerang hari ini.
Beliau berkata satu pasukan khas akan ditubuhkan membabitkan kedua-dua kementerian untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat berkaitan kewajiban vaksin ke atas pelajar sekolah.
"Pasukan khas ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat dengan menggabungkan Kementerian Pendidikan bersama pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh memberi pandangan berkaitan isu ini,".
Mahdzir berkata suntikan vaksin itu penting untuk kesihatan pelajar walaupun terdapat golongan ibu bapa yang menolak suntikan vaksin kerana kekurangan maklumat tepat berkaitan kebaikan menerima suntikan terbabit.
"Ramai ibu bapa yang bimbang untuk memberi suntikan vaksin kepada anak-anak mereka kerana mendapat maklumat yang kurang tepat seperti kesahihan halal terhadap bahan vaksin yang digunakan," katanya.
Pada 25 Jun lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata kementerian itu sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan suntikan vaksin kepada pelajar sekolah.
Ia berikutan kematian seorang kanak-kanak perempuan 7 tahun akibat dijangkiti bakteria difteria di Melaka dan seorang kanak-kanak lelaki 2 tahun di Kedah manakala lima lagi adik beradik kanak-kanak lelaki itu sedang dikuarantin akibat dijangkiti bakteria sama. Kedua-dua kanak-kanak yang meninggal dunia itu didapati tidak mendapat pelalian difteria.
Terdahulu, Mahdzir menyampaikan sumbangan berupa duit raya, beras, kain pelikat dan kain batik kepada 3,100 penerima dari kawasan Parlimen Padang Terap.
- Bernama

