Polis Cheras akan siasat aduan terhadap ketuanya
Terjemahan Polis Daerah Dang Wangi akan merujuk kepada Polis Cheras untuk menyiasat aduan terhadap ketua polis daerah tersebut, Mohd Nor Masdar, berhubung dakwaan bahawa polis menggunakan kekerasaan keterlaluan ke atas mereka yang menyertai bantahan sempena dua tahun pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq.
Terjemahan Polis Daerah Dang Wangi akan merujuk kepada Polis Cheras untuk menyiasat aduan terhadap ketua polis daerah tersebut, Mohd Nor Masdar, berhubung dakwaan bahawa polis menggunakan kekerasaan keterlaluan ke atas mereka yang menyertai bantahan sempena dua tahun pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq.
Aduan tersebut dibuat oleh mereka yang menyertai bantahan anti-peperangan itu Ahad lalu di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Mereka mendakwa anggota polis pencegah rasuah di bawah arahan Mohd Nor telah menggunakan kekerasan yang keterlaluan ketika menyuraikan perhimpunan pada hari berkenaan.
Difahamkan laporan polis yang sama yang dibuat hari ini di Sungai Nibong (Pulau Pinang) dan Sri Kembangan (Selangor) juga telah dirujukkan kepada Polis Cheras.
Setiausaha Agung penaja Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan mengetuai 12 wakil daripada sembilan pertubuhan untuk membuat aduan polis di balai Dang Wangi pada jam 10.30 pagi tadi. Mereka turut mengemukakan butir-butir terperinci mengenai kejadian tersebut.
Apabila pegawai polis di situ memberitahu beliau yang kes tersebut akan disiasat oleh balai polis Cheras, Arutchelvan cuba menjelaskan bahawa peserta demonstrasi anti perang itu, berada di dalam daerah Dang Wangi.
"Kami berada di sana ketika disembur dengan air bercampur bahan kimia dan gas pemedih mata," katanya memberitahu pegawai tersebut.
Bagaimanapun, pegawai itu berkata perkara tersebut akan disiasat oleh polis Cheras kerana trak-trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di tempatkan di seberang Jalan Tun Razak yang terletak di bawah bidangkuasa mereka.
Pada hari berkenaan, Mohd Nor telah mengarahkan mereka bersurai selepas 30 minit berhimpun di situ, walaupun sebelum itu, Arutchelvan telah memaklumkan mengenai perhimpunan itu kepada seorang pegawai balai polis Dang Wangi. Sejurus selepas itu, tiga amaran dibunyikan dan pihak polis mula menembak air dan gas pemedih mata.
Arutchelvan memberitahu ketua polis Dang Wangi Kamal Pasha bahawa mereka tidak akan bekerjasama dalam siasatan tersebut kecuali ia dijalankan oleh polis Dang Wangi atau pihak Bukit Aman.
Katanya, Kaml kemudian memberitahu bahawa pihak polis akan meneliti soal bidangkuasa terbabit.
Kamal bagaimanapun enggan mengulas ketika ditemui oleh wartawan malaysiakini.
Laporan lain
Sementara itu, V Selvan dari PSM mengutuk tindakan polis yang dianggapnya bersikap lepas tangan dalam hal tersebut.
"Kami membantahnya. Kami telah meminta supaya kes ini disiasat oleh pihak yang tidak terbabit dalam kejadian tersebut, tetapi tidak dilayan," katanya.
Sebelum itu, ketika bercakap kepada pemberita, Pengerusi penaja PSM, Nasir Hashim mencadangkan supaya diadakan latihan mengenai etika dan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi di kalangan pegawai kanan polis.
"Semua ketua polis daerah patut menghadiri kelas mengenai cara berkomunikasi dengan orang awam dan bagaimana mendengar aduan mereka," katanya.
Nasir mendakwa, Mohd Nor telah menengking pihak penganjur demonstrasi tersebut dan enggan berunding mengenai masa yang diperuntukan kepada mereka untuk berhimpun di situ.
"Kami bukan menganggu. Kami berdiri di kedua belah jalan. Bukan kami yang menggangu aliran lalintas di situ, tetapi anggota polis yang berbaris di hadapan kami. Jadi apa masalahnya dengan bantahan tersebut," soalnya.
Manakala Timbalan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Faisal Sanusi pula berkata penggunaan kekerasan itu adalah tidak wajar sama sekali.
"Pihak polis sentiasa bertindak tidak profesional ketika bantahan secara aman diadakan. Kali ini, wanita dan kanak-kanak juga menjadi mangsa kekejaman polis," tambahnya.
Bantahan tersebut diadakan hujung minggu lalu di lebih 200 negara sempena ulangtahun kedua pencerobohan Iraq oleh Amerika dan sekutunya pada 19 Mac lalu.
Kejadian kekerasan polis terhadap mereka yang menyertai bantahan tersebut, hanya dilaporkan di dua buah negara di Malaysia dan Amerika di mana 27 orang ditangkap di New York dan dua lagi di Chicao.

