Polis panggil Nga ke Bukit Aman
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dipanggil memberikan kenyataan dalam isu kartun kontroversi berkaitan permintaan “dedak” di hari raya di Bukit Aman.
Katanya, beliau telah dihubungi pegawai penyiasat kes itu yang mahu beliau hadir ke ibu pejabat polis di Kuala Lumpur pada Isnin minggu depan.
Nga berkata akan memberikan kerjasama penuh.
"Kami sentiasa sedia membantu (siasatan),” katanya kepada Malaysiakini.
Nga hari ini turun membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Ipoh, yang mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah dalam isu itu.
Nga menafikan melukis dan memuat naik gambar tersebut atas akaun Facebook beliau.
Semalam, terdapat protes melibatkan pemimpin Pemuda Umno dan kumpulan anti-DAP berbaju merah di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, semalam.
Mereka menuduh Nga tidak menghormati Islam dalam dua status Facebook pada hari raya puasa lalu, termasuk yang memapakan kad hari raya maya dengan imej bendera Amerika Syarikat.
Dalam demonstrasi semalam keadaan kecoh apabila berlaku tolak menolak antara peserta himpunan dengan anggota polis.
Kumpulan itu turut melempar “duit neraka” ke arah bangunan parti itu. Dalam tradisi Cina, duit neraka dibakar sebagai persembahan kepada nenek moyang si mati.

