Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Pemuda Umno berhimpun di depan ibu pejabat DAP semalam bagi membantah tindakan ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang didakwa menghina sambutan Aidilfitri sebagai wajar.

Katanya, tindakan Pemuda Umno itu bagi mempertahankan maruah dan integriti orang Melayu berikutan penghinaan yang dibuat oleh wakil rakyat DAP itu.

“Semalam adalah salah satu contoh reaksi daripada kenyataan yang dibuat Nga. Jadi tak boleh salah Pemuda Umno sebab tugas mereka adalah mempertahankan integriti dan juga mempertahankan maruah orang Melayu yang rasa terhina.

“Saya pun rasa terhina kalau kata anak kita makan dedak. Dedak itu makanan itik dan ayam, jadi kita dah samakan anak-anak yang terima duit raya sama dengan itik dan ayam mestilah kita marah,” kata Ismail pada sidang medianya di Putrajaya hari ini.

Pada bantahan semalam, Pemuda Umno dan Gerakan Merah berang dengan tindakan polis yang membuat sekatan di hadapan ibu pejabat berkenaan.

Keadaan menjadi kecoh apabila berlaku tolak menolak di antara peserta himpunan dengan anggota polis.

Mereka kemudian mula melaungkan slogan berbaur perkauman dan melemparkan duit neraka ke arah bangunan parti itu.

Duit neraka adalah menyerupai wang dan mengikut adat Cina ia dibakar sebagai persembahan kepada nenek moyang si mati.

Disoal mengenai duit neraka itu, seorang penunjuk perasaan itu menjawab: "Kerana kita nak kasi orang DAP mati ma."

Pada 6 Julai lalu, Nga dalam ucapan Aidilfitri menyiarkan karikatur kanak-kanak dan tetamu menerima sedekah duit raya dan menyamakannnya sebagai rasuah dan 'dedak'.

Posting itu kemudiannya dikeluarkan dari laman Facebooknya.

Nga juga mengundang masalah apabila memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri di akaun Facebooknya.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga adalah ahli parlimen Bera berkata pemberian duit raya kini adalah budaya setiap bangsa di negara ini pada musim perayaan.

“Sedangkan benda (pemberian duit raya) ini dibuat oleh semua orang. Orang Cina pun bagi angpau. Orang Melayu pun dalam Islam digalakkan beri sedekah.

“Kita tak panggil angpau tapi sedekah. Dah jadi budaya masyarakat Malaysia untuk beri duit raya,’ katanya.

Justeru, Ismail mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam membuat mahu pun mengeluarkan kenyataan yang melibatkan pelbagai kaum di negara ini.

“Jangan main isu yang boleh timbulkan kemarahan kerana akhirnya akan berlaku kejadian seperti semalam (demonstrasi). Itu mungkin tak ramai keluar demonstrasi kalau lagi besar, ribuan orang yang keluar akan lagi huru hara. Jadi, hati-hatilah buat kenyataan.

“Saya harap selepas ini kalau tak nak lagi ada perkara seperti itu, pemimpin politik pembangkang perlu hati-hati dalam keluarkan kenyataan. Jangan ikut rasa, suka-suka nak keluarkan kenyataan macam itu dan jangan tiba-tiba kata itu bergurau saja. Tak bolehlah,” kata Ismail.

Menurutnya, sebagai pemimpin mereka perlu lebih berhati-hati.

“Bila kita terutamanya pemimpin mesti tahu kesan apa yang kita cakap, kalau boleh timbul huru hara lebih baik jangan cakap,” katanya.