DUN S'gor melebihi bidang kuasa saman Hafarizam
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor melebihi bidang kuasanya apabila ia mengeluarkan saman terhadap peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk menjawap tuduhan menghina Dewan, Mahkamah Persekutuan memutuskan hari ini.
Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Selangor yang memperuntukkan penghinaan yang dilakukan di luar DUN.
Mohd Hafarizam menerima saman pada 12 April 2011, meminta beliau hadir pada perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) untuk menjawap tuduhan menghina Dewan kerana didakwa menghantar surat tuntutan bayaran kos mahkamah RM40,000 kepada Speaker DUN Selangor ketika itu, Datuk Teng Chang Khim.
Teng pada 19 Jan 2011, mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong, selepas mendakwa bekas ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah tidak hadir sidang DUN selama enam bulan tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah itu pada 18 Feb 2011 dan memerintahkan Teng membayar RM40,000 sebagai kos perundangan kepada Badrul Hisham. Mohd Hafarizam mewakili Badrul Hisham pada masa itu.
JKHK kemudiannya mendengar saman itu dan mendenda Mohd Hafarizam RM20,000 kerana menghina walaupun Mohd Hafarizam tidak hadir di hadapan jawatankuasa.
- Bernama

