Ketika banyak pihak heboh membicarakan tawaran 'gencatan senjata' PAS, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali mempunyai sudut pandang lain dalam isu itu.

Beliau melihat, sejak awal lagi, pembangkang tidak harus bertelagah sesama sendiri, terutamanya dua parti berteraskan Islam – PAS dan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Saya sendiri rasa tak senang hati, saya bukan ahli PAS mahupun AMANAH.

“AMANAH dulu adalah orang PAS dan mereka berjuang atas nama Islam. Asas utama Islam adalah silaturahim, kita tak boleh memutuskan hubungan silaturahim.

“Parti lain yang tidak bercakap atau guna dasar Islam, bila bergaduh sesama sendiri tidaklah sampai ke peringkat mereka bergaduh seperti PAS dan AMANAH, tak rasa malu ke?

“Ini teguran ikhlas dari saya,” ujarnya kesal dalam wawancara bersama Malaysiakini dan sebuah lagi portal berita di ibu pejabat PERKASA di Kuala Lumpur semalam.

Bekas anggota parlimen Pasir Mas itu mengulas kenyataan tawaran 'gencatan senjata' sesama pembangkang oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kelmarin.

Tanggungjawab dua pihak

Tuan Ibrahim berkata, PAS dan parti-parti dalam Pakatan Harapan – DAP, PKR dan AMANAH – perlu bertolak ansur dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing dalam menumbangkan BN.

Rata-rata idea itu disambut positif oleh pembangkang, kecuali AMANAH yang lebih berhati-hati apabila meminta PAS membincangkan secara dalaman dahulu supaya tiada 'pusingan U' dibuat di kemudian hari.

Ibrahim Ali meletakkan tanggungjawab membetulkan perkara itu di bahu kedua-dua pihak, iaitu PAS dan AMANAH.

“Kalau asalnya mereka parti lain, lainlah cerita. Tapi mereka ini sama-sama parti yang bercakap sehingga berbuih air liur mengenai Islam sejak berpuluh tahun lamanya.

“Akhir sekali berpecah berkerat rotan sehingga keluar perkataan gencatan senjata tidakkah rasa malu.

“Bukan sebelah pihak tapi kedua belah pihak. Beban ini terletak pada pimpinan PAS dan AMANAH termasuk kumpulan (Presiden AMANAH Mohamad Sabu) Mat Sabu yang dulu lantang bercakap Islam,” katanya.

AMANAH digerakkan bekas pemimpin-pemimpin kanan PAS yang tewas beramai-ramai di tangan kumpulan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan parti yang lepas.