Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin juga gesa Najib ubah status laporan audit 1MDB
Diterbitkan:  Jul 15, 2016 11:37 AM
Dikemaskini: 4:05 AM

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menggesa pengubahan status Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

"Saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan pengubahan status Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dengan segera demi ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan mengukuhkan kepercayaan tentang wujudnya konspirasi di peringkat tertinggi untuk menutup skandal 1MDB, tambah beliau yang juga ahli parlimen Gombak.

Seruan tersebut sejajar dengan pendedahan oleh Sarawak Report mengenai apa yang didakwanya sebagai sebahagian daripada Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, baru-baru ini.

Semalam, Presiden TI-M, Akhbar Satar berkata, pihaknya merasakan sekarang adalah masa yang terbaik untuk mengubah status laporan berkenaan.

"Laporan audit itu menjelaskan beberapa kebenaran, jadi mengapa teragak-agak dan enggan membiarkan kebenaran terserlah?" tanya Akhbar lagi.

Buat masa sekarang, laporan tersebut masih 'terperap' di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mengulas lanjut, Azmin berkata, OSA adalah undang-undang yang bertujuan melindungi keselamatan negara dan memastikan maklumat yang sensitif dan sulit tidak jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, penemuan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB tidak boleh wajar diklasifikasikan sebagai maklumat sensitif.

"Terus meletakkannya di bawah OSA adalah suatu penyalahgunaan kuasa dan pihak berkuasa eksekutif yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS