Ahli parlimen paling lama di negara ini, Tengku Razaleigh Hamzah menetapkan pendirian untuk tidak lagi bertanding pada pilihan rya umum akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli parlimen Gua Musang yang berusia 79 tahun itu berkata, walaupun rakyat masih menyukainya, namun sudah tiba masa untuk beliau berundur.

“Saya kata tidak boleh tongkat langit, saya sudah lama sangat... sudah 45 tahun jadi wakil rakyat, manakala menerajui Umno Bahagian pula sudah dekat 60 tahun.

“Usia saya telah mencecah 80 tahun, sudah tidak mampu lagi hendak pikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan tiba masanya ada orang lain ganti,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Menurut Razaleigh, hasrat persaraan juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sebelum pilihan raya umum ke-13.

“Tetapi majoriti masih mahu saya menerajui Umno dan menjadi wakil rakyat kerana alasannya mereka takut kawasan ini hilang dan jatuh ke tangan pembangkang.

“Sebenarnya perkara ini tidak bergantung kepada saya, kawasan ini akan selamat selagi ada perpaduan dan kerjasama.

“Saya rasa tidak menjadi masalah jika saya membuat keputusan berundur pada PRU-14 akan datang,” katanya.

Razaleigh telah menjadi ahli parlimen sejak 1974, dan belum pernah tewas sejak itu walaupun pernah tidak bertanding di atas tiket Umno.