Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usaha jernihkan keadaan, Ikram anjur forum mengenai kafir harbi

Dalam usaha untuk menjernihkan keadaan, NGO Muslim, Ikram telah menganjurkan satu forum di Nilai, Negeri Sembilan malam tadi, dengan menampilkan lima sarjana untuk membincangkan topik 'adakah istilah kafir harbi masih relevan'.

Walaupun mereka jelas mempunyai pendapat yang berbeza, namun konsensus malam tadi ialah istilah kafir harbi masih relevan, kerana ayat-ayat al-Quran dan hadith yang menyokongnya kekal sahih.

Terdapat juga konsensus umum bahawa tidak semestinya halal darah mereka yang dilabelkan sebagai kafir harbi.

Profesor Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata dalam zaman moden, satu-satunya kafir harbi sebenar yang umat Islam perlu perangi ialah yang memerangi umat Islam, seperti Israel.

Bercakap kepada kira-kira 300 hadirin di forum tersebut, beliau berkata ulama bersetuju bahawa orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam adalah rakyat, dan bukan kafir harbi.

Felo kanan Institut Penyelidikan Strategik Islam Malaysia (Iksim), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali pula berkata orang bukan Islam yang merupakan warganegara di negara Islam, masih boleh dilabelkan sebagai kafir harbi, tetapi bukan halal darah mereka.

"Mufti Pahang kata tidak boleh boleh sekongkol dengan mereka, tidak boleh menyokong mereka (kafir harbi), bukan boleh sembelih mereka

"Adalah salah untuk mengandaikan bahawa apabila diklasifikasikan sebagai kafir harbi, secara automatik halal darah (mereka)," katanya.

'Jangan singgung sensitiviti'

Sementara itu Exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata mereka yang mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai kafir harbi perlu berhati-hati dan sedar akan akibat dalam berbuat demikian.

Pada masa yang sama, beliau berkata, orang bukan Islam juga perlu mengambil sikap berhati-hati untuk tidak menyinggung sensitivit umat Islam.

Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus bagaimanapun berkata, daripada mengambil pendekatan yang agresif, umat Islam perlu berdepan dengan orang bukan Islam dengan kebaikan dan mengelak hujah yang berunsur perkauman.

Utusan Malaysia sebelum ini memetik Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman berkata DAP adalah harbi kafir kerana menentang rang undang-undang berkaitan hudud yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Rahman kemudiannya menjelaskan bahawa maksud beliau ialah semua orang yang menentang Islam adalah kafir harbi, bukan hanya DAP.

Abdul Rahman selanjutnya menjelaskan bahawa beliau menyeru kafir harbi ditentang melalui perdebatan dan bukan melalui senjata.

Mufti itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan, tetapi enggan menarik balik kenyataannya.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS